PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka siap dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara selepas siasatan dilengkapkan.

"Kita sudah rakam percakapan Tony Pua pada Isnin, kes masih dalam siasatan. Kita akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh tujuh hari.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak AGC selepas siasatan kita selesai," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelancaran Op Selamat 21 dan perasmian VSP 2.0 di Persada Plus di sini, pada Rabu.

Pada Isnin, media melaporkan Tony Pua bersama peguamnya, Haijan Omar dan ditemani Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 12.48 tengah hari, sebelum dilihat keluar pada jam 2.30 petang.

Tony Pua memaklumkan beliau memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat dan sebanyak 60 soalan ditanya berhubung lima hantaran di Facebook.

Pada Ahad, Razarudin mengesahkan pihaknya sedang menyiasat Tony Pua berhubung kenyataannya di media sosial dipercayai berunsur menghina institusi diraja dalam isu pengampunan Najib.

Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian