Jabatan Peguam Negara berjanji dan memberi jaminan untuk meneliti dan meneruskan prosedur undang-undang berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim secara profesional sebaik menerima kertas siasatan.

"Ini ialah janji jabatan ini (Jabatan Peguam Negara)," kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut beliau, selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh polis, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

"Pada peringkat itu tugas jabatan ini (Jabatan Peguam Negara) bermula. Jabatan ini perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis, dan mendakwa individu-individu yang terlibat.

"Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang.

"Jabatan ini akan berusaha sedaya upaya apabila kertas siasatan diserahkan kepada jabatan ini," katanya lagi.


Dalam kenyataan yang sama, Tommy turut menarik perhatian mengenai banyak spekulasi dan maklumat yang salah dibangkitkan berhubung langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner, Rofiah Mohamad pada Jumaat lalu pada penghujung inkues yang dijalankan ke atas kematian tragis Muhammad Adib.

Kata Tommy, Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador juga telah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat.

BACA: Tunang Adib bersyukur dengan keputusan hari ini


Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka.

"Pihak polis mempunyai sumber dan kepakaran untuk menjalankan tugas-tugas mereka di bawah undang-undang.

"KPN tentu sekali akan memaklumkan perkembangan siasatan pihak polis kepada orang ramai yang ingin tahu dari semasa ke semasa," ujar Tommy lagi.

Pada Jumaat, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah melibatkan dua atau tiga penyerang ketika anggota bomba itu bertugas di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield pada November tahun lalu.

BACA: Polis akan siasat, cari pihak terlibat kematian Muhammad Adib - KPN