IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini membenarkan ikat jamin terhadap seorang bekas mudir sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah, yang didakwa atas 15 pertuduhan amang seksual terhadap lima pelajar maahad itu, tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membenarkan tertuduh, Azizul Yahya, 30 tahun, diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, di samping beberapa syarat tambahan.

Syarat-syaratnya ialah, tertuduh dikehendaki melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah sebelum 3 haribulan setiap bulan mulai April, dilarang mendekati mangsa sekurang-kurangnya satu kilometer dan dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut memutuskan, jika tertuduh melanggar syarat-syarat berkenaan, wang jaminan akan dibatalkan dan dia direman semula sehingga kes selesai.

Kes tersebut akan didengar semula di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 29 April hadapan.

Timbalan Pendakwa Raya Fajrul Shihar Abu Samah mewakili pihak pendakwaan, manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Hafiz Jalaludin.

Pada 28 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 15 pertuduhan amang seksual terhadap lima pelajar maahad itu, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Azizul yang masih bujang didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas lima remaja lelaki berusia 13 hingga 15 tahun sejak Februari hinggga Oktober 2021 di sebuah maahad tahfiz di Batu Gajah.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang mangsa dengan menunjukkan video lucah pada pukul 7.30 pagi, 18 Oktober 2021 di lokasi sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh ketika itu, kerana mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius yang dilakukannya.