KUALA LUMPUR: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mengandungi syor-syor mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri 7 Okt ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengesahkan perkara itu berkata Pasukan Petugas Khas berkenaan telah selesai melaksanakan tugasan yang diamanahkan sepanjang hampir sembilan bulan mulai 9 Nov 2021 hingga 30 Ogos lepas berdasarkan kepada terma rujukan yang ditetapkan, memfokus kepada aspek perundangan dan hubungan Malaysia-Singapura.

"Bagi maksud menjayakan tugasan sepanjang tempoh itu, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi dan material berkaitan, mengadakan siri perbincangan atau mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 29 Oktober tahun lepas, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas itu yang dipengerusikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.

Pasukan itu ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

Wan Junaidi turut mengulangi komitmen kerajaan untuk memastikan kedaulatan dan persempadanan maritim negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan.

Menurutnya penubuhan dan pelaksanaan pasukan petugas khas itu sepanjang kira-kira sembilan bulan merupakan bukti jelas komitmen berkenaan.

-- BERNAMA