SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan untuk melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar, dan dua anaknya berhubung kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan, empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman ketika membacakan alasan penghakiman berkata, selepas mendengar dan keterangan saksi, pihak pendakwaan gagal mengemukakan kes prima facie terhadap mereka.

Sebelum itu, tiga tertuduh iaitu Samirah, 47, dan dua remaja yang juga merupakan anak tiri Nazrin, dilihat tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira 9.10 pagi ini.

Samirah bersama dua remaja berkenaan, masing-masing berusia 16 dan 19 tahun, dilihat tiba sambil diiringi barisan peguam serta ahli keluarga.

Ketika membaca alasan penghakimannya, Ab Karim berkata, pendakwaan gagal membuktikan Samirah serta dua remaja berkenaan ada di masa dan ketika kejadian berlaku, iaitu antara 11.30 malam 13 Jun, 2018 hingga 4.30 pagi pada hari keesokannya.

Beliau berkata, saksi pendakwaan yang juga merupakan Patologis Forensik HKL Dr Siew Sheue Feng memberi keterangan bahawa waktu kematian mungkin berlaku antara 11.30 pagi hingga 1 tengah hari pada 14 Jun.

Waktu yang dianggarkan saksi tersebut, kata hakim lagi jelas bertentangan dengan masa yang dianggarkan pasukan pendakwaan dalam kertas pertuduhan.

Media sebelum ini melaporkan pasukan pendakwaan telah menutup kesnya pada 14 Feb lepas, selepas memanggil 57 saksi.

Antara yang dipanggil memberi keterangan termasuk dua orang abang dan kakak Nazrin iaitu Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan serta Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

Samirah, dua orang anaknya, serta seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.


Menyentuh mengenai emosi dan kelakuan Samirah sepanjang waktu kejadian, hakim berkata, hujah pendakwaan bahawa wanita tersebut tidak membuat tindakan yang sepatutnya seperti menghubungi bomba, bersedih atau meraung, kesemua itu pada pendapat mahkamah hanyalah persepsi pendakwaan.

“Tidak menghubungi pihak bomba, tiada reaksi sedih, dan tidak meraung dalam van jenazah. (Itu) semua lebih kepada persepsi pihak pendakwaan dan ia tidak berkaitan,” katanya lagi, sambil menambah, tiada saksi pendakwaan yang dapat menyokong hujah berkenaan.

Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, dan Nur Sabrina Zubairi, sementara pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dan dibarisi Rahmat Hazlan, LS Leonard, S Suresh, Savreena Kaur, dan Zahria Eleena Redza.