MALAYSIA
Kes bunuh: Mahkamah tolak permohonan lelaki OKU fail petisyen rayuan di luar tempoh masa

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan seorang lelaki Orang Kurang Upaya untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (pendengaran dan pertuturan) yang diperintahkan membela diri atas pertuduhan membunuh dan membakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan Kang Chang Heng, 46, membela diri bukan suatu keputusan (akhir) tetapi merupakan perintah yang tidak menghapuskan hak perayu secara muktamad.
"Perayu masih mempunyai hak untuk membela diri dan sekiranya disabitkan kesalahan (di akhir kes pembelaan), dia (perayu) masih mempunyai hak untuk membuat rayuan.
"Oleh itu, pada peringkat ini kami mendapati bahawa rayuan perayu tidak kompeten dan dengan itu kami menolak permohonan perayu dan menetapkan esok untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam," kata Hakim Abu Bakar.Hakim Abu Bakar yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof turut membatalkan notis rayuan difailkan Kang berhubung keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkannya membela diri.
Seorang jurubahasa isyarat turut hadir pada prosiding hari ini bagi menterjemah apa yang berlaku di mahkamah kepada perayu.
Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan manakala Kang diwakili peguam Lim Chin Huat.
Pada 2 Sept 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Kang daripada pertuduhan tersebut dan memerintahkan perayu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Kang.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 19 Okt 2022 melepaskan dan membebaskan Kang tanpa perlu membela diri daripada kesemua pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Kang dituduh membunuh Chia Tee Nang, 73, isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9, di sebuah rumah di Tanjung Sepat, di Kuala Langat, Selangor antara 4 dan 5 pagi pada 13 Dis 2017.
Tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Andrew Chia Zeng Haol yang berusia 11 tahun, yang terselamat daripada kebakaran dicetuskan Kang pada masa dan tempat yang sama.
Kang, pekerja kilang perabot ditahan pada 15 Dis 2017, dipercayai adalah teman lelaki kepada anak perempuan bongsu pasangan suami isteri yang terkorban, yang juga OKU pendengaran dan pertuturan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami