TENOM: Kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai NOBODY tidak lagi aktif selepas kesemua aduan mangsa dikendalikan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung.

Firdaus yang juga saksi pendakwaan kes seksual melibatkan pendakwah bebas, Ebit Lew itu berkata demikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di Mahkamah Tenom, di sini, pada Rabu.

Merujuk kepada jawapannya sebelum ini yang menyatakan tidak bersetuju penubuhan kumpulan Whatsapp NOBODY adalah tidak selaras dengan prinsip pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya, Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus berkata, kenyataan terbabit diberikan kerana antara prinsip-prinsip organisasi berkenaan adalah semua perkara dilakukan hendaklah mematuhi syariat Islam.

"Selain itu, ia juga haruslah tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

"Maka penubuhan NOBODY adalah selaras dengan MRM disebabkan tujuannya ialah bagi mendapatkan nasihat daripada penasihat agar setiap yang dibuat selari dengan ajaran Islam," katanya.

Terdahulu pada perbicaraan hari pertama semalam, Firdaus memaklumkan mahkamah, beliau ada melihat beberapa mesej serta gambar lucah secara terus daripada telefon bimbit milik 'pengadu' (identiti tidak didedahkan) yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua mesej dan gambar berkenaan dilihat sendiri olehnya apabila bertemu dengan ‘pengadu’ dan suami selepas laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021.

Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di Tenom.

Menerusi pertuduhan berkenaan, Ebit didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.