Skip to main content

Malaysia

Kes eFishery: Empat fakta yang perlu anda tahu

51531820470_KWAP.jpg
KWAP diperdaya menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada eFishery, sebuah syarikat pemula teknologi akuakultur yang berpangkalan di Indonesia.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) diperdaya menerusi penipuan terancang dan manipulasi laporan kewangan sehingga menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada eFishery, sebuah syarikat pemula teknologi akuakultur yang berpangkalan di Indonesia.

Menurut beliau, keputusan pelaburan itu dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu, termasuk penyata kewangan yang disahkan oleh juruaudit antarabangsa bertauliah.

Susulan itu, timbul dakwaan yang cuba mengaitkan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dengan kegagalan pelaburan berkenaan.

Berikut empat perkara penting bagi memahami isu tersebut:

 

1. Bagaimana eFishery boleh melepasi proses usaha wajar?

KWAP dalam kenyataan rasmi pada 18 Julai 2026 memperincikan bahawa jumlah pelaburan sebenar pada Julai 2023 adalah RM163.4 juta.

Ia mewakili 2.51% pegangan saham syarikat berkenaan dalam pusingan pembiayaan Series D eFishery yang turut disertai pelabur antarabangsa lain termasuk Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.

Keputusan pelaburan dibuat selepas proses penilaian dan usaha wajar (due diligence) berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit.

Bagaimanapun, eFishery didakwa memanipulasi penyata kewangannya sehingga hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi daripada angka sebenar.

Pada April 2026, Mahkamah Daerah Bandung menjatuhkan hukuman penjara terhadap pengasas eFishery, Gibran Huzaifah, serta dua bekas pegawai kanan atas kesalahan berkaitan penggelapan dan pengubahan wang haram.

 

2. Adakah kedudukan Anwar sebagai Menteri Kewangan bermaksud beliau mengarahkan pelaburan tersebut?

Di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007, keputusan pelaburan KWAP dibuat oleh Panel Pelaburan dan dilaksanakan oleh pihak pengurusan KWAP.

Menteri Kewangan bertanggungjawab menetapkan dasar serta melantik ahli lembaga dan Panel Pelaburan, tetapi tidak meluluskan setiap transaksi pelaburan secara individu.

Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan Anwar mengarahkan pelaburan tersebut, memaksa kelulusannya, atau menerima manfaat daripada pelaburan itu.

 

3. Adakah isu ini melibatkan kelemahan institusi atau kesalahan jenayah?

Persoalan yang timbul lebih berkait kepada akauntabiliti politik dan institusi, bukannya bukti kesalahan jenayah terhadap mana-mana individu.

Oleh itu, isu seperti ini boleh disemak menerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), audit bebas atau semakan tatakelola dalaman.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan konsortium pelabur, termasuk KWAP, sedang meneruskan tindakan undang-undang dan usaha mendapatkan semula dana yang terlibat, selain memperkukuh mekanisme kawalan dalaman.

 

4. Adakah kes eFishery sama seperti 1MDB?

Secara asasnya, kedua-dua kes mempunyai ciri yang berbeza.

Sifat penipuan: Dalam kes eFishery, KWAP didakwa menjadi mangsa penipuan syarikat asing yang memalsukan maklumat kewangan. Beberapa pelabur antarabangsa lain turut terkesan.

Skala kerugian: Pelaburan KWAP dalam eFishery berjumlah kira-kira RM163.4 juta, manakala obligasi keseluruhan 1MDB dianggarkan sekitar RM51.4 bilion.

Struktur kawalan: Dalam kes 1MDB, rekod mahkamah menunjukkan struktur syarikat memberikan kawalan langsung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, terhadap urusan penting syarikat.

 

Sementara itu, Anwar dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan akan memberi penjelasan lebih terperinci dan menyeluruh mengenai isu pelaburan eFishery ini di sidang Dewan Negara esok (Isnin, 20 Julai 2026).

 

Must Watch Video

Advertisement