Skip to main content

Malaysia

Kes harta pusaka taikun Genting: Peguam nafi sembunyikan peranan sebagai pemegang amanah Yayasan Dikim

https://www.sinarharian.com.my/article/769659/berita/semasa/rayuan-fathul-bari-ditolak-gagal-pulangkan-hampir-setengah-juta-wang-jemaah-haji
Peguam yang mendraf dua wasiat pada 2022 bagi harta pusaka mendiang Lim Siew Kim, anak perempuan taikun Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong, memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah menyembunyikan peranannya sebagai pemegang amanah Yayasan Dikim daripada benefisiari wasiat itu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Peguam yang mendraf dua wasiat pada 2022 bagi harta pusaka mendiang Lim Siew Kim, anak perempuan taikun Kumpulan Genting Tan Sri Lim Goh Tong, memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah menyembunyikan peranannya sebagai pemegang amanah Yayasan Dikim daripada benefisiari wasiat itu.

Low Beng Choo, 68, yang mengenali mendiang lebih 20 tahun melalui kerjayanya sebagai peguam, berkata demikian ketika dirujuk kepada pertemuan di mana wasiat terakhir Siew Kim dibacakan pada 12 Sept 2022.

Advertisement

Beliau disoal balas oleh Datuk V. Sithambaram, peguam dua anak perempuan mendiang iaitu Chan T’Shiao Li (plaintif pertama) dan Kimberly Chan TShiao Miin (plaintif kedua), yang mencabar keupayaan ibu mereka untuk melaksanakan wasiat itu selain mendakwa terdapat keadaan yang mencurigakan berkaitan penyediaan dokumen berkenaan.

Kedua-dua beradik itu menamakan empat individu termasuk Low dan abang mereka, Marcus Chan Jau Chwen, sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 2023.

Sithambaram kemudian memaklumkan saksi bahawa beliau telah merekodkan bahawa Marcus pernah bertanya siapa yang mengendalikan Yayasan Dikim serta siapa pemegang amanahnya, dan Low bersetuju dengan perkara itu.

Kepada soalan berikutnya, Low mengakui bahawa walaupun hadir ketika itu, beliau tidak memberikan jawapan dan menyatakan bahawa ia sudah dijawab oleh orang lain.

Sithambaram: Apa yang anda maksudkan sekarang, adakah kami akan memberikan jawapan bahawa anda adalah pemegang amanah Yayasan Dikim?

Low: Tidak, tidak, itu adalah pencarian fakta.

Sithambaram: Tetapi soalan itu bukan pencarian fakta. Soalan itu adalah soalan yang jelas, siapa yang mengendalikan Yayasan Dikim dan siapa pemegang amanahnya?

Low: Saya tidak menjawab soalan itu.

Sithambaram: Jadi, saya katakan kepada anda bahawa anda telah menyembunyikan peranan sebagai pemegang amanah Yayasan Dikim daripada benefisiari yang bertanyakan soalan itu kepada anda. Kedua, Marcus telah melontarkan soalan itu dan anda hadir tetapi tidak menjawab. Anda telah bertindak menyembunyikannya, setuju atau tidak?

Low: Saya tidak bersetuju dengan anda.

Disoal lanjut oleh Sithambaram, saksi itu berkata beliau tidak tahu bahawa lima bulan selepas wasiat terdahulu, mendiang telah mengurangkan pemberian tunai kepada plaintif pertama dan kedua dalam wasiat bertarikh 11 April 2022, iaitu masing-masing daripada RM1 juta kepada RM900,000 dan RM100,000.

Low juga berkata beliau tidak tahu bahawa plaintif pertama ialah individu utama yang menjaga mendiang ketika sakit, dan tidak tahu bahawa plaintif pertama telah menemani Siew Kim semasa wanita itu dimasukkan ke Prince Court, seperti yang tercatat dalam rekod hospital berkenaan.

Kepada cadangan peguam bahawa wasiat pertama tidak menggambarkan aset dan harta sebenar yang dimiliki oleh mendiang, saksi itu menjawab wasiat tersebut boleh dianggap sebagai Siew Kim membuat peruntukan terhadap apa sahaja harga yang dimilikinya.

Siew Kim, yang juga anak ketiga pengasas Kumpulan Genting, meninggal dunia akibat kanser pada Julai 2022.

Wanita berusia 73 tahun itu meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib bersambung esok.

-- BERNAMA

 

TAG: mahkamah tinggi, genting, wasiat, pemegang amanah, yayasan Dikim

Must Watch Video