KUALA LUMPUR: 2 Februari depan ditetapkan untuk keputusan permohonan pembelaan bagi menggantung prosiding perbicaraan kes menghasut yang dihadapi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin dalam keputusannya juga mengecualikan tertuduh daripada hadir pada tarikh berkenaan dan memaklumkan perbicaraan pada hari ini, esok dan 12 Februari digantikan dengan tiga tarikh baharu pada 11, 15 dan 18 Mac.

Beliau memaklumkan bicara pada 12 Februari pula dilapangkan kerana cuti umum ganti Tahun Baharu Cina.

Pada Khamis, Mahkamah Sesyen Selayang diberitahu tindakan Muhammad Sanusi memfailkan notis usul untuk menggantung perbicaraan kes menghasut yang dihadapinya, bertujuan melengahkan prosiding itu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Masri Mohd Daud, menegaskan tarikh perbicaraan pada hari ini sudah dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan sebelum ini.

Malah, tegas beliau, sejak Menteri Besar Kedah itu didakwa di mahkamah sama pada 18 Julai 2023 hingga pemfailan notis usul pada 11 Januari lalu, tiada permohonan untuk pemindahan kes difailkan oleh tertuduh.

"Tempoh enam bulan berlalu tanpa apa-apa tindakan diambil tertuduh. Pemfailan yang dibuat pada saat akhir setelah kes sudah menghampiri tarikh perbicaraan jelas menunjukkan tindakan tertuduh yang sengaja mahu melengahkan perbicaraan.

"Ini tanpa sedikit pun rasa hormat kepada tarikh perbicaraan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum ini. Selain itu, pemfailan notis usul di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) bukan sama sekali alasan yang patut dipertimbangkan untuk menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat itu mengemukakan permohonan menerusi notis usul untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Muhammad Sanusi juga meminta diberi kebenaran penggantungan perbicaraan di Mahkamah Sesyen di sini hingga permohonan pemindahan kes diputuskan Mahkamah Tinggi.

Permohonan mengikut Seksyen 417 (1) (a), (b) dan (e) Kanun Acara Jenayah (KAJ) itu atas alasan satu perbicaraan berpatutan dan saksama tidak dapat dijalankan di mana-mana mahkamah rendah daripada Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, Gombak pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Perenggan 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Masri berkata, Muhammad Sanusi berstatus ketua kerajaan negeri dan kes membabitkannya memang mendapat perhatian umum di seluruh negara, sekali gus memerlukan untuk pendengaran disegerakan.

"Apatah lagi, kes ini menyentuh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Malaysia. Justeru, tiada sebab yang munasabah untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan," katanya.

Peguam Muhammad Sanusi, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata permohonan notis usul dibuat setelah mengkaji dokumen diserahkan pihak pendakwaan, antaranya berkaitan titah Sultan Selangor dan beberapa fakta kes yang bukan sembarangan kerana membabitkan menteri besar serta institusi diraja.

"Notis usul menyentuh teras keadilan supaya Mahkamah Tinggi dapat menjalankan prosiding bebas dengan perkara yang boleh timbul nanti. Permohonan yang dibuat tidak remeh, tidak bersifat picisan dan bukan atas alasan lemah, tetapi menyentuh prinsip keadilan dalam perbicaraan jenayah," katanya.

Sebelum ini, mahkamah sama menetapkan perbicaraan kes itu pada hari ini dan esok serta 5, 8, 9, 12, 13, 15, 16, 19, 22, 23 Februari.