Skip to main content
Advertisement

Sukan

Penyokong Malaysia keluar GBK selepas laluan keluar dan sekitar disahkan selamat

[TB]_Penyokong Malaysia Stadium GBK_BERNAMA
Langkah berjaga-jaga itu antara lain bagi memastikan penyokong Malaysia dapat meninggalkan venue dengan selamat selepas sebahagian besar penyokong tuan rumah beredar, mengurangkan risiko sebarang insiden tidak diingini. --fotoBERNAMA
Advertisement

JAKARTA: Penyokong Malaysia diminta kekal di dalam Stadium Gelora Bung Karno (GBK) seketika selepas tamat perlawanan Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 antara Malaysia dan Indonesia di sini malam tadi, sebagai langkah keselamatan.

Langkah itu dipercayai sebahagian daripada prosedur kawalan keselamatan bagi mengelakkan pertembungan antara penyokong kedua-dua pasukan, selain memastikan proses pengosongan stadium berjalan secara berperingkat dan terkawal.

Penyokong Harimau Malaya diminta kekal di tempat duduk masing-masing sementara menunggu arahan petugas keselamatan sebelum dibenarkan meninggalkan stadium selepas keadaan di laluan keluar dan kawasan sekitar venue disahkan selamat.

Kawalan keselamatan ketat turut kelihatan di dalam dan sekitar GBK dengan anggota keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi strategik, termasuk pintu keluar serta laluan utama stadium bagi mengawal pergerakan penyokong.

Langkah berjaga-jaga itu juga bagi memastikan penyokong Malaysia dapat meninggalkan venue dengan selamat selepas sebahagian besar penyokong tuan rumah beredar, sekali gus mengurangkan risiko sebarang insiden tidak diingini.

Pertemuan Malaysia dan Indonesia menarik kehadiran besar penyokong tuan rumah, menyebabkan aspek keselamatan serta pengurusan pergerakan penyokong diberi perhatian sepanjang perlawanan hingga selepas wisel penamat.

Dalam aksi malam tadi, Malaysia dan Indonesia berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan.

Harimau Malaya seterusnya dijadual berdepan Singapura dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement