KUANTAN: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri Pahang mengalami peningkatan enam kali ganda iaitu sebanyak 1,145 kes berbanding 190 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, HFMD adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Menurut beliau, penyakit itu juga boleh menjangkiti semua peringkat umur terutamanya kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah.

"Kes (HFMD) banyak berlaku dalam kalangan  kanak-kanak berumur kosong hingga enam tahun iaitu 95.4 peratus atau 1,093 kes, diiikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga  12 tahun iaitusebanyak 43 kes (3.8 peratus ) dan sebanyak 9 kes (0.8 peratus) berlaku dalam individu berumur lebih 12 tahun.

"Daripada 1,145 kes, sebanyak 138 kes (12.1 perayus) adalah kes yang dikenal pasti berlaku hasil penularan di taska, tadika atau pra sekolah manakala 1,007 (87.9 peratus) kes adalah berlaku secara sporadik," kata Dr Nor Azimi dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan, virus ini boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Tambahnya, kebiasaan jangkitan adalah ringan  dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh  ke 10 hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," terang beliau lagi.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti berikut untuk mengurangkan risiko dijangkiti seperti basuh tangan dengan sabun dan mengekalkan kebersihan di rumah.

Beliau turut menyarankan ibu bapa untuk membawa anak-anak ke klinik atau hospital terdekat jika terdapat tanda-tanda atau gejala jangkitan.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan sebagainya," katanya.

Dalam masa sama, Dr  Nor Azimi mengingatkan pengusaha dan penjaga di taska atau tadika supaya  memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

Menurutnya, saringan di pintu masuk juga perlu dilakukan bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya dan amalan cuci tangan yang betul serta nyahkuman permukaan -permukaan yang tercemar," kata beliau lagi.