Jangkitan leptospirosis atau kencing tikus di negara ini terkawal dengan statistik menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 3,212 kes dilaporkan berbanding 5,632 kes bagi tempoh sama pada 2015.

Sarawak menyumbang jumlah kes tertinggi dengan 551 kes, diikuti Selangor (502), Kelantan (482), Terengganu (419) dan Kedah (205) sementara negeri-negeri lain mencatat kurang daripada 200 kes.

Walaupun kes menurun, Kementerian tetap meneruskan usaha pemantauan dan penguatkuasaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan dalam memastikan jumlah vektor penyakit iaitu tikus dapat dikurangkan.

“Di dalam menjaga kebersihan persekitaran di tempat-tempat rekreasi seperti di dalam hutan dan sebagainya, kita bekerjasama dengan agensi di situ seperti Jabatan Perhutanan dan Pertubuhan Pencinta Air Malaysia supaya kita boleh memastikan persekitaran yang lebih bersih dan memastikan mereka yang pergi ke tempat itu boleh mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Orang ramai juga diingat untuk terus memainkan peranan dengan menjaga kebersihan persekitaran.

Pada masa sama, tempat-tempat berisiko seperti premis makanan yang kurang bersih, pusat rekreasi yang kotor, serta kawasan air bertakung dan sungai yang tidak mengalir cepat, perlu dielakkan.