Skip to main content

Malaysia

Kes kematian dalam tahanan: Polis tunggu laporan kimia

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (kiri) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan patologi bagi melengkapkan siasatan kematian lelaki dalam tahanan baru-baru ini.
  • Siasatan dijalankan secara bebas oleh USJKT Bukit Aman dan JIPS, dengan mengambil kira semua bukti yang diperlukan.
  • Lelaki berusia 40-an itu mempunyai 44 rekod jenayah lampau dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

KUALA LUMPUR: Punca kematian seorang lelaki berusia 40 tahun ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu masih belum dapat dipastikan sementara menunggu laporan penuh Jabatan Kimia.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan berhubung kematian lelaki berkenaan sedang dikendalikan Bukit Aman, termasuk meneliti kemungkinan berlaku salah laku atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, lelaki warga tempatan itu meninggal dunia kira-kira jam 1.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Bagilah ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan secara terperinci, teliti dan biarlah mereka lengkapkan siasatan dari pelbagai angle, semua bukti-bukti yang diperlukan. 

“Cause of death buat masa ini masih belum diputuskan dan kita masih lagi menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK Kuala Lumpur), di sini,  hari ini.

Fadil berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), dengan siasatan turut melibatkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Katanya, siasatan turut meneliti sama ada berlaku sebarang salah laku atau pelanggaran SOP sepanjang lelaki berkenaan berada dalam tahanan polis.

Dalam pada itu, Fadil mengesahkan lelaki berkenaan dibawa ke hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika berada dalam tahanan.

Mengulas gambar yang didakwa menunjukkan kesan kecederaan pada tubuh si mati, beliau tidak mempertikaikan kemungkinan gambar berkenaan diambil selepas mayat diserahkan kepada keluarga.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai keadaan mangsa sementara siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, Fadil mendedahkan semakan rekod polis mendapati si mati mempunyai 44 rekod kesalahan lampau, merangkumi 18 rekod narkotik dan 26 rekod jenayah.

Menurutnya, siasatan turut mengaitkan lelaki berkenaan dengan 17 lagi kes pecah rumah dan kecurian di sekitar Cheras berdasarkan maklumat yang diperoleh sepanjang siasatan.

“Terdapat tiga laporan tangkapan terhadap si mati. Satu laporan melibatkan kes dadah atau narkotik dan dua lagi laporan melibatkan kes jenayah,” katanya.

Kes narkotik berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas si mati didapati tidak mempunyai kawalan atau pemilikan terhadap dadah yang dirampas.

Dua lagi kes jenayah turut menerima keputusan NFA susulan kematian lelaki berkenaan.

Fadil menegaskan, siasatan kematian dalam tahanan itu perlu dilengkapkan terlebih dahulu bagi menentukan keadaan sebenar kejadian.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Terdahulu, kematian seorang lelaki, Noorizwan Zulkefly, 42, ketika dalam tahanan polis di Cheras mencetuskan desakan beberapa pertubuhan hak asasi manusia supaya siasatan bebas dan menyeluruh dijalankan.

Pada 9 Oktober lalu, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menggesa kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan dakwaan kecederaan serius pada tubuh mangsa.

Peguam keluarga daripada Lawyers for Liberty (LFL) turut mempersoalkan keadaan fizikal mangsa, selain mendakwa keluarga hanya dimaklumkan mengenai kematiannya kira-kira 18 jam selepas kejadian.

Terbaharu, keluarga mangsa dilaporkan merancang mengadakan perhimpunan aman di Bukit Aman pada 17 Oktober bagi menuntut penjelasan dan keadilan berhubung kematian berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement