Polis menahan tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan bagi membantu kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang penolong pengurus sebuah syarikat telekomunikasi di hadapan bangunan kedai Shafbury, Cyberjaya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata kesemua suspek merupakan pelajar di sebuah universiti antarabangsa di Cyberjaya.

"Pada jam 12 malam, semalam, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor menahan seorang lelaki Yemen berumur 22 tahun di Persiaran Putra Permai Selesa, Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.

"Tangkapan lanjut dibuat di Verdi Residence, Symphony Hills, Cyberjaya, Sepang dan polis telah menahan dua lelaki Libya berumur 24 dan 20 tahun, dan seorang wanita berumur 32 tahun yang berasal dari Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, sebuah kereta jenis Hyundai berwarna perak yang terlibat dalam kes itu turut dirampas.

Abdul Aziz berkata, salah seorang lelaki yang ditangkap mengaku memandu kenderaan Hyundai tersebut semasa kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Rabu, Wan Amirah Wan Alias maut selepas dirempuh sebuah kereta dalam satu kes langgar lari di Cyberjaya.

Melalui visual CCTV yang tular di media sosial, mangsa dilihat baru sahaja keluar dari kedai dan melintas jalan menuju ke keretanya.

BACA: Berang dilarang parkir di petak OKU puncanya

BACA: Jenazah mangsa selamat dikebumi


Namun, menyedari sebuah kereta berhampiran sedang dipandu laju dan merempuh kereta lain, mangsa cuba mengelak dengan berlari, namun gagal menyelamatkan diri apabila kereta itu melanggar dan menyeretnya beberapa meter.

Sementara itu, Bernama melaporkan, empat suspek kes langgar lari berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sepang, Alpha Dragam membenarkan tempoh reman sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan itu.