IPOH: Bapa pelajar maut dilanggar, Muhd Zamrie Zainal Abidin rebah selepas tidak dapat menahan rasa sedih ketika menerima kunjungan Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di kediamannya di Taman Chepor Sentosa di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang, keadaan pesara tentera berusia 55 tahun itu berjaya ditenangkan anggota keluarga dan pegawai polis yang hadir sebelum dipimpin dan duduk di atas kerusi.

Bagaimanapun, bapa kepada empat anak itu tidak dapat menahan emosi dan menangis teresak-esak ketika meluahkan perasaan terhadap kejadian yang menimpa anak bongsunya, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

"Sampai hati dia buat macam ni kat anak saya," katanya dalam nada pilu.

Rintihan itu mengundang rasa sayu dalam kalangan rakan dan jiran yang hadir menziarahi keluarga mangsa.

Dalam pertemuan hampir 30 minit itu, Muhd Zamrie berulang kali menyatakan harapan mahukan satu siasatan telus dijalankan agar keadilan dapat dibuktikan atas kematian anaknya.

"Saya tak mahu kejadian sama berulang dan jadi pada anak-anak orang lain," katanya.

Selain polis, keluarga mangsa turut menerima kunjungan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh yang hadir memberi sokongan moral dan sumbangan peribadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

- Sinar Harian