MALAYSIA
Kes penganggur bunuh ibu bapa tangguh, bersambung 18 Jun
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan seorang penganggur, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 44, yang didakwa atas kesalahan membunuh kedua-dua ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala pada 9 Disember 2023.
Pada 20 Mei lalu, prosiding bermula dengan pembacaan semula dua pertuduhan serta fakta kes kepada tertuduh. Afendi mengekalkan pengakuan bersalahnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah, kemudian mengemukakan beberapa barang kes dan dokumen kepada mahkamah, termasuk laporan bedah siasat kedua-dua mangsa dan laporan perubatan psikiatri.
Izalina turut memperlihatkan salah satu barang kes iaitu sebuah meja yang didakwa digunakan oleh suspek dalam kejadian tersebut.Mengikut pertuduhan, Afendi didakwa membunuh ibu bapanya, seorang pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, serta suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan ini dilakukan di rumah mangsa di Kampung Sungai Penchala pada 7.10 malam dan 7.20 malam pada hari kejadian.
Afendi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta sebatan tidak kurang 12 kali jika disabit kesalahan.
Pada 27 November tahun lalu, mahkamah telah memerintahkan pemeriksaan mental ke atas tertuduh di Hospital Bahagia Ulu Kinta, bagi memastikan bahawa pengakuan bersalah yang dibuatnya pada 6 September 2024 dilakukan dalam keadaan waras dan tanpa paksaan.
Bagaimanapun, pada 30 April lalu, laporan pemeriksaan mental yang bertarikh 7 Februari 2025 mengesahkan bahawa Afendi tidak menghidap sebarang penyakit mental.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami