KUALA LUMPUR: Lebih 4,800 kes jenayah kolar putih dilaporkan sepanjang tempoh dua tahun lepas melibatkan kes penipuan pelaburan mencecah kerugian lebih RM420 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kes penipuan pelaburan dalam talian merekodkan peningkatan kepada 3,195 kes melibatkan kerugian bernilai lebih RM245 juta pada 2021 berbanding 1,671 kes dengan nilai kerugian lebih RM180 juta pada 2020.

"Seramai 906 individu ditahan pada 2020 manakala 1,833 individu pada tahun lepas atas kesalahan penipuan pelaburan," katanya pada sidang media khas di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial seperti di Facebook, Youtube, WhatsApp dan Wechat.

"Sila buat semakan terhadap skim pelaburan dan syarikat yang menawarkan pelaburan berkenaan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia atau tidak," katanya.

Selain itu, orang awam dinasihati supaya membuat pengesahan akaun, dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan ataupun tidak sebelum membuat sebarang transaksi bayaran.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan dalam talian untuk melaporkannya kepada CCID Scam Response Centre di 03-26101559 atau 03-26101599.

-- BERNAMA