Sekumpulan 12 pelajar yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes memukul seorang pelajar tingkatan tiga di Pasir Mas, Ahad lalu, telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, kesemua 12 pelajar terbabit dibebaskan hari ini selepas ditahan pada Khamis lalu.

“Kita akan rujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut sama ada untuk pertuduhan atau tindakan lain yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

BACA: Polis tahan 12 remaja disyaki pukul pelajar tingkatan tiga hingga lebam

Polis pada Rabu lalu menahan 12 pelajar berkenaan bagi membantu siasatan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang lebam di muka dan badan selepas dipukul.

Pergaduhan itu tercetus dipercayai bermotifkan cemburu dan berlaku pada 6 petang 9 Februari lalu.

Mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas selepas aktiviti sukan di sekolahnya dan terdapat rakaman video itu yang juga tular di media sosial sebelum mangsa membuat laporan polis.