Skip to main content

Malaysia

Kes rasuah, AMLA Muhyiddin: Pernyataan saksi Tengku Zafrul belum lengkap - Pendakwaan

61767083421_MuhyiddinYassin.jpg
Tan Sri Muhyiddin Yassin berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa pihak pendakwaan masih dalam proses menyiapkan pernyataan saksi bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika pengurusan kes empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Advertisement

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berdepan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.

Semasa prosiding, Wan Shaharuddin berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyiapkan pernyataan saksi bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri terbabit.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pendakwaan SPRM berkata, dokumen berkenaan akan diserahkan kepada pembelaan mewakili Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berusia 79 tahun itu, dua minggu sebelum perbicaraan bermula, 9 Mac depan.

“Pernyataan saksi Tengku Zafrul masih belum lengkap, namun 99.5 peratus pernyataan saksi lain telah diserahkan kepada pembelaan.

“Kami juga telah menyerahkan senarai saksi yang akan dipanggil memberi keterangan di mahkamah kelak,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan Mahadi Abdul Jumaat.

Sementara itu, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh mengesahkan telah menerima pernyataan saksi berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, pembelaan belum menerima pernyataan saksi membabitkan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari.

“Kami mahu mendapatkan pengesahan sama ada beliau akan dipanggil memberi keterangan atau sebaliknya. -- Sinar Harian

Must Watch Video