SHAH ALAM :Tiga anggota polis cawangan trafik di negeri Selangor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah bernilai RM500 melibatkan kesemua mereka pada Ahad lalu.

Ketiga-tiga mereka masing-masing merupakan anggota berpangkat Sarjan dan Koperal dikatakan menerima rasuah daripada seorang pemandu van yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perintah reman dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam sekitar jam 10.30 pagi dengan memakai pakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diiringi beberapa anggota SPRM.

Difahamkan, mereka ditahan kira-kira jam 7 petang semalam sebaik sahaja selesai memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek telah menahan sebuah van di Lebuh Raya Guthrie ketika membawa 10 penumpang menyebabkan tiada penjarakan fizikal.

Kesemua suspek telah mendesak pemandu van memberikan rasuah bagi tujuan mengelakkan mereka dikenakan kompaun atas kesalahan PKPB.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.