KANGAR:Empat lagi individu termasuk seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai merupakan ketua sindiket penyeludupan direman tujuh hari bermula hari ini.

Mereka ditahan dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kejadian berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar sehingga mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 45 tahun itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Terdahulu, seorang suspek warga Thailand berusia 27 tahun berjaya ditahan di kawasan berbukit di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Felda Mata Ayer oleh anggota PGA kira-kira jam 9 pagi, pada Rabu.

Susulan penahanan itu, pihak polis telah melaksanakan operasi khas secara besar-besaran bagi memburu rangkaian sindiket dan berjaya menahan suspek warga tempatan yang berusia 22, 26 dan 45 tahun secara berperingkat di sekitar Perlis.

Suspek berusia 45 tahun itu juga dipercayai merupakan ketua sindiket penyeludupan ketum dan dadah yang bergerak aktif selain mempunyai kaitan dengan kumpulan di Thailand.

Sehingga kini, seramai 22 individu termasuk empat warga Thailand telah ditahan berikutan kejadian tembak menembak yang telah mengakibatkan seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, dan rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah.



Pada Rabu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengesahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti dua kumpulan penyeludup yang terlibat dalam serangan di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya, dua kumpulan berkenaan dipercayai sudah lama terlibat bergerak aktif dalam kegiatan penyeludupan daun ketum dan dadah di kawasan sempadan Perlis-Thailand serta turut dilaporkan memiliki senjata api.

Tambah beliau, pihaknya juga kini sedang memburu seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 40 ke 50-an yang telah dikenalpasti sebagai dalang utama sindiket yang dipercayai sedang bersembunyi ketika ini.