KUALA LUMPUR:Polis Diraja Thailand berjanji akan memberi kerjasama penuh sehingga tertangkapnya saki-baki kumpulan sindiket penyeludupan yang menembak anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata komitmen itu dizahirkan oleh pihak berkuasa negara itu menerusi satu panggilan telefon pada Selasa.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Royal Thai Police kerana memberikan kerjasama... dan terus menghubungi Ketua Polis Perlis menawarkan apa juga bantuan untuk mengesan, menjejak dan menangkap suspek... dan kita akan bawa mereka balik ke Malaysia," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, malam ini.


Beliau berkata, pasukan forensik dari Bukit Aman turut dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan terperinci.

"Saya mengarahkan tiada apa terlepas pandang, bermakna mereka seharusnya mengambil tindakan selengkapnya... supaya apabila kes ini dibicarakan kemudian kita ada peluang sabitan tinggi di mahkamah," jelas Abdul Hamid.

Sehingga kini, enam warga Thailand sudah berjaya ditahan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia manakala saki-baki kumpulan penyeludup itu sedang dikesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, Baharuddin Ramli, 54, yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, terkorban manakala Norihan Tari parah terkena tembakan penyeludup.