Tempoh reman dua suspek yang terbabit dalam kes tikam kakitangan Astro AWANI dilanjutkan hingga 28 Disember.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata tempoh reman itu dilanjutkan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

Tambah beliau, polis juga kini sedang giat memburu suspek utama yang dipercayai menikam pengurus pentas Astro AWANI, Ahmad Hawari Zakaria, 33, di sebuah pangsapuri di Setapak lewat Jumaat lalu.

"Sudah pasti pihak polis akan melakukan reman semula. Sekiranya siasatan telah lengkap suspek akan dilepaskan...tapi sudah pasti mereka masih disambung reman...Kita akan kesan seorang suspek utama yang cuba untuk membunuh termasuk tujuan membunuh.

"Setakat ini dua yang mungkin terlibat telah ditangkap dan kita akan meneruskan siasatan dan menjejaki suspek utama yang melakukan tikam kepada mangsa," katanya kepada pihak media selepas melawat Ahmad Hawari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Beliau pada masa sama enggan mengesahkan sama ada lima lagi suspek yang dicari polis itu telah melarikan diri ke luar negara.

Ditanya sama ada kerajaan akan mewujudkan satu badan khas untuk menjaga keselamatan petugas media, kata Masir beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan itu.

"Pada pendapat saya, perkara itu perlu dibincang bersama Menteri. Saya tidak boleh untuk membuat keputusan...kita perlu berbincang.

"Cadangan ini boleh dipertimbangkan. Saya akan kemuka kepada Menteri," katanya.

Ahmad Hawari dilaporkan diserang dan ditikam tujuh lelaki di bilik sewanya di Kondominium Platinum Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.