PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli hari ini.

Mahkamah turut menetapkan 29 Jan tahun depan untuk pihak-pihak mengemas kini mahkamah berhubung status representasi Ahmad Zahid.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, mengesahkan penetapan tarikh pendengaran dan sebutan, ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pendengaran rayuan itu akan diteruskan jika representasi ditolak.

Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Januari tahun ini untuk pertimbangan AGC untuk tidak meneruskan rayuannya.

Pada 23 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid, yang kini Timbalan Perdana Menteri, daripada semua pertuduhan itu selepas memutuskan bahawa pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Presiden UMNO itu menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Beliau juga memohon dibicarakan terhadap 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 29 Dis tahun lepas, pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang memfokuskan kepada penemuan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi mengenai persoalan sama ada terdapat unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan wang dalam kes itu.

-- BERNAMA