KUALA LUMPUR: Pasukan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, agar 15 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pembelaan kedua, Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, dibuang.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Raja Rozela Raja Toran membuat permohonan itu ketika prosiding kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, Raja Rozela berkata, pendakwaan mengemukakan bantahan terhadap pernyataan saksi Fadzlette yang kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO bermula perenggan 16 hingga 30.

Ini kerana beliau berkata, kenyataan itu dianggap merosakkan kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly yang juga saksi ke-90 pendakwaan.

Pembelaan berulang kali menyatakan bahawa Mazlina sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dan berat sebelah, ia banyak kali dibangkitkan dalam perbicaraa ini.

“Jika diterima masuk, ia menyebabkan isu ini akan sentiasa diulang dan tidak berkesudahan,” katanya.

Selain itu, Raja Rozela berkata, hakim mempunyai kedudukan dan kuasa untuk mengarahkan supaya sebahagian keterangan itu ditolak dengan alasan ia tidak relevan kerana hanya bersifat fakta sampingan.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memohon agar diberikan masa sehingga esok pagi untuk meneliti dan menjawab hujahan yang dikemukakan pendakwaan.

Mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sequerah menangguhkan prosiding itu dan akan disambung esok.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -- Sinar Harian