Pasti ramai yang ingin mengetahui bagaimana sebenarnya pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan dijalankan.

Sejak beberapa hari lepas, isu SST hangat diperkatakan sama ada dalam kalangan pengamal media, pihak kerajaan dan pembangkang, mahupun rakyat.

Pelbagai persoalan timbul lebih-lebih lagi di platform media sosial apabila netizen mula bertanya apakah perbezaan sebenar antara SST dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pada 10 Mei, susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan akan memansuhkan GST, yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional pada April 2015, dan digantikan dengan SST yang diguna pakai sebelum ini.

Hari ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan dijadualkan mengadakan sidang media berasingan berkenaan SST.

Astro AWANI akan membawakan perkembangan terkini serta laporan komprehensif berkenaan isu ini.

Terdahulu pada Rabu, JKDM berkata akan membantu kerajaan mengurangkan jurang perbezaan hasil antara SST dan GST.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, ini bagi membantu kerajaan menguruskan impak pengurangan pendapatan yang drastik.

Manakala Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, GST dianggarkan mengutip RM44 bilion setahun manakala SST, RM21 bilion.


BACA: Merungkai kekeliruan GST

BACA: 'Usah keliru, SST bukannya 16 peratus'

BACA: Dakwaan SST 'lebih membebankan' tidak masuk akal - Guan Eng