KULIM: Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, April lalu.
Tertuduh, Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32, di hadapan sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Tunku Putra, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 20 April lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi menawarkan jaminan RM6,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Beliau berkata, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri memandangkan dia mempunyai keluarga dan berkemungkinan digantung kerja tanpa gaji.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 10 Januari 2027.