Seruan ke arah perpaduan dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama seperti visi Almarhum Tunku Abdul Rahman perlu diberi perhatian demi menghadapi cabaran semasa, kata Pengerusi Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ambiga berkata demikian dalam forum ‘Tunku dan Pak Samad: Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’ yang dilangsungkan di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

“Kita harus lakukan sesuatu bersama sebagai sebuah bangsa seperti ketika kita berdepan dengan isu besar seperti bencana banjir baru-baru ini.

“Saya mengesyorkan barisan pemimpin kerajaan, pihak pembangkang dan orang awam supaya ketepikan perbezaan sekarang juga dan bersatu dalam berdepan empat isu mendesak di negara ini,” ujar beliau.

Empat isu tersebut adalah situasi banjir dan kaitannya dengan penebangan hutan; mencari penyelesaian ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi rakyat; keharmonian antara kaum dan agama; dan ancaman denggi.

Ambiga turut memetik kata-kata Perdana Menteri pertama tersebut iaitu: ‘Kita tidak boleh membiarkan sebarang unsur yang bertentangan dengan perpaduan untuk memecah-belahkan atau mengganggu-gugat hidup kita. Jika wujud sedemikian, kitalah yang gagal.'

Dalam forum yang mengimbas acuan negara daripada perspektif Tunku Abdul Rahman itu, Ambiga menyatakan bahawa Tunku ialah individu yang sangat menghargai proses Perlembagaan dihasilkan.

“Tunku memahami kepentingan pembahagian kuasa dan kehakiman yang bebas. Beliau tahu bahawa institusi tersebut mesti dihormati,” ujar beliau.

Ambiga berpendapat, pada suatu masa dalam perjalanan negara ini, haluan visi Tunku Abdul Rahman tersebut telah beralih.

“Hari ini, negara ini berdepan dengan pelbagai cabaran. Cabaran ini semakin bertambah sebagai kesan langsung daripada membenarkan financial success (kuasa wang) mengatasi nilai-nilai sebenar termasuk hak-hak asas dalam Perlembagaan dan institusi,” ujar Ambiga.

Tambahnya, apabila hal itu menjadi semakin rapuh termasuk soal penyalahgunaan kuasa dan korupsi, jalan ke arah kemusnahan pun terbuka.

Ambiga turut mengaitkan rasa bimbang tersebut dengan keadaan ekonomi semasa seperti nilai ringgit yang lemah, kejatuhan harga minyak, kes 1MDB dan juga pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Dalam forum yang turut disertai anggota panel lain seperti veteran DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa itu, Ambiga berkata bahawa Tunku sering menyampaikan kata-kata dalam bahasa yang membawa keamanan dan keharmonian sesama rakyat Malaysia.

“Saya ingin memetik apa yang dikatakan beliau - Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sentiasa mengingati bahawa perpaduan merupakan kekuatan asas kita sebagai satu bangsa dan negara.

Dalam forum tersebut, Ambiga mengambil kesempatan mengajak segenap lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan kepercayaan, supaya mencari pengertian di sebalik kata-kata negarawan tersebut.