Pemergian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada Khamis dan situasi dimana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman lima tahun penjara atas kesalahan meliwat, tidak sedikit pun menjejaskan keutuhan kerjasama Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali.

Azmin sebaliknya yakin kepimpinan sedia ada dapat meneruskan legasi perjuangan kedua-dua pemimpin itu.

Mengakui walaupun ketiadaan Allahyarham Nik Aziz dan Anwar merupakan satu cabaran besar bagi Pakatan Rakyat, namun menurut Azmin yang juga Menteri Besar Selangor, perjuangan mesti diteruskan.

"Bulan Febuari ini, bulan yang cukup yang sedih untuk Pakatan Rakyat kerana kita kehilangan dua tokoh besar namun perjuangan mesti diteruskan."

"Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tok Guru Nik Aziz telah meletak asas perjuangan yang cukup kuat dalam Pakatan Rakyat," kata Azmin yang ditemui pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina 2015 peringkat negeri Selangor di Plaza Tol Batu 3.

Ditanya sama ada kehilangan kedua pemimpin itu akan memberi kesan ke atas prestasi Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri Chempaka, Azmin yakin mereka cukup bersedia.

"Saya kira apa yang berlaku terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kehilangan Tok Guru Nik Aziz ianya memperkuatkan lagi semangat kita untuk meneruskan perjuangan dalam Pakatan Rakyat. Kita tidak boleh bersedihan sepanjang masa tetapi tidak buat apa-apa."

"Saya kira kedua-dua tokoh telah menberi satu hala tuju dan asas yang cukup kuat maka tanggungjawab kita untuk mewarisi kepimpinan mereka," kata Azmin.

Anwar lucut kelayakan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh setelah didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum penjara melebihi setahun.

Setakat ini, Anwar masih diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR dan sehingga kini masih tiada perbincangan untuk menggantikannya.

Manakala kerusi DUN Chempaka kosong susulan kematian penyandang kerusinya, Allahyarham Nik Aziz akibat kanser prostat.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai saranan luar biasa dibuat oleh beberapa ahli PKR meminta parti itu melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengganti Anwar, Azmin menyifat itu hanya satu pandangan peribadi.

"Itu adalah pandangan peribadi mana-mana anggota tetapi kekuatan Pakatan Rakyat adalah kita bertindak atas konsensus dan muafakat."

"Kita percaya dalam Pakatan ada pilihan pemimpin yang cukup berwibawa untuk memimpin Pakatan Rakyat."