SINGAPURA: Ketidakjaminan makanan adalah satu daripada empat cabaran yang memerlukan kerjasama keselamatan, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap mengenai topik "Membangunkan Kerjasama Keselamatan Baharu" pada Sesi Pleno Dialog Shangri-La ke-19 hari ini, Hishammuddin menekankan bahawa ketidakjaminan makanan mengancam masyarakat dan memburukkan lagi konflik.

"Dalam hal ini sesungguhnya tiada negara yang kebal. COVID-19 telah menyaksikan gangguan rantaian bekalan secara global. penutupan negara telah menghentikan aliran bekalan makanan dan barangan mentah. Sekarang, konflik Ukraine-Rusia memburukkan lagi keadaan," katanya.

Beliau berkata turun naik harga komoditi telah melonjak, dengan harga makanan mencecah paras yang belum pernah berlaku sejak kenaikan harga 2007-2008.

"Tetapi mengapa sebahagian daripada anda tertanya-tanya mengapa saya mengetengahkan isu ketidakjaminan makanan dalam Dialog Shangri-La - bagaimana ia berkait dengan keselamatan dan pertahanan?" soalnya kepada hadirin.

"Mari kita imbau pada 10 tahun yang lalu, orang ramai turun ke jalan-jalan di Tunisia, Mesir, dan tempat lain di dunia Arab, penunjuk perasaan bukan sahaja merintih untuk kebebasan dan keadilan sosial tetapi mereka juga merintih untuk daptkan roti.

"Kos makanan ruji seperti gandum melambung tinggi kerana kenaikan harga komoditi, belian panik, mencetuskan kemarahan, sama ada ia wajar atau sebaliknya, terhadap kerajaan.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata berjaya gabungan kegelisahan rakyat selama dua tahun disebabkan pandemik dan kenaikan harga barang 'mungkin mendorong rakyat hilang pertimbangan, mencetuskan gelombang ketidakstabilan politik dengan berpotensi mencetuskan rusuhan dan bantahan sehingga menjejaskan persekitaran keselamatan di negara kita.

"Di Sri Lanka, protes telah meletus kerana kekurangan gas dan barangan asas lain. Inflasi dua digit di Pakistan juga boleh dikatakan menyumbang kepada perubahan kerajaan baru-baru ini.

"Peru juga telah digegarkan dengan demonstrasi antikerajaan yang dicetuskan akibat kenaikan harga bahan api, lebih menyedihkan ia turut mengakibatkan beberapa kematian. Pergolakan di bahagian tertentu di dunia boleh mencetuskan ancaman keselamatan kepada kita semua.

"Jelas bahawa kini ancaman tidak lagi terhad kepada faktor politik, tetapi juga pertimbangan ekonomi," katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa situasi lebih buruk mungkin bakal muncul.

"Kerosakan di Ukraine, pengeksport utama sebilangan besar komoditi asas, serta sekatan ketat ke atas Rusia, dijangka mendorong lagi kenaikan harga dalam beberapa bulan akan datang.

"Konflik berlaku di Eropah, tetapi implikasi dan kerosakan melibatkan seluruh dunia. Suka atau tidak, ketidakjaminan makanan adalah penting untuk keamanan dan kestabilan," katanya.

Selain isu ketakjaminan makanan, tiga lagi cabaran lain yang memerlukan kerjasama keselamatan yang diberi keutamaan termasuk peningkatan jenayah rentas sempadan kesan pembukaan semula sempadan, peningkatan maklumat salah dalam talian daripada kumpulan pengganas dan pelampau, serta ancaman berterusan perang biologi.

Turut serta dalam sesi itu ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan Qatar, Dr Khalid bin Mohammad Al Attiyah.

-- BERNAMA