Laporan awal 1Malaysia Development Berhad akan sedia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akhir Jun oleh Ketua Audit Negara.

Menurut Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed, perkara itu telah dimaklumkan kepada beliau oleh, Tan Sri Ambrin Buang.

“Saya dimaklumkan oleh Tan Sri Ambrin tadi bahawa beliau telah bersedia untuk membentangkan laporan awal 1MDB seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir bulan ini,” katanya dalam sidang media di bilik jawatankuasa PAC yang berlangsung di Parlimen pada Isnin.

Menurut Nur Jazlan, pihak PAC tidak mengetahui bila laporan akhir 1MDB akan siap untuk dibentangkan.

Katanya, PAC tidak akan mendedahkan kepada umum laporan awal tersebut sebaliknya akan dipertimbangkan terlebih dahulu.

Apabila ditanya mengapa laporan awal itu tidak didedahkan, Nur Jazlan berkata ia adalah kerana laporan tersebut adalah siasatan awal jawatankuasa PAC.

Beliau menafikan Jabatan Perdana Menteri telah mengarahkan mereka untuk tidak mendedahkannya.

Jelasnya, PAC akan mengambil masa untuk menyiasat 1MDB kerana ianya melibatkan banyak maklumat.