Undang-undang kerahsiaan yang diluluskan Parlimen baru-baru ini tidak akan menghalang usaha-usaha anti-rasuah, itu jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pengenalan Seksyen baru 203A Kanun Keseksaan adalah khusus untuk mencegah jenayah berat dan tidak akan menghalang usaha-usaha anti –rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"203A adalah mengenai pegawai-pegawai kerajaan yang membocorkan maklumat dan tidak melindungi pemberi maklumat" kata Abu Kassim.

Beliau menambah bahawa kedua-dua Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan 203A mempunyai objektif yang berbeza dimana 203A secara khusus disasarkan kepada mereka yang membocorkan maklumat kepada penjenayah.

Walaubagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kebimbangan bahawa kemungkinan undang-undang itu akan turut menyekat kebebasan media.

“Itu anda kena bertanya pada pihak media sendiri” jawabnya.

Pindaan Kanun Keseksaan untuk memasukkan Seksyen 203A , atau fasal baru ‘pendedahan maklumat’ telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 22 Okt .

Rang undang-undang itu antara lain memperuntukkan: "Sesiapa yang menzahirkan apa-apa maklumat atau perkara yang telah didapati olehnya dalam pelaksanaan tugasnya atau penjalanan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis hendaklah dihukum dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh yang boleh sampai satu tahun, atau kedua-duanya ".

Walaupun pembangkang berhujah bahawa ia adalah satu pemangkin untuk menggalakkan rasuah berlaku, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukry dalam reaksinya berkata bahawa undang-undang baharu itu bertujuan menangani jenayah berat.

Walaubagaimanapun, Nancy kemudian berkata bahawa selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, Kerajaan berkemungkinan mengkaji semula undang-undang tersebut.