Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor selagi tidak disabitkan dengan sebarang pelanggaran amanah, kata Majlis Syura Ulama PAS.

Majlis Syura Ulama PAS berkata keputusan itu dibuat berasaskan hukum syarak dengan melihat kepada kepentingan rakyat yang seharusnya mendahului kepentingan individu atau parti.

"Selagi tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan Menteri Besar itu digugurkan, Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor," kenyataan yang ditandatangani Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Timbalan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Dr Haron Din dipetik sebagai berkata.

Badan membuat keputusan tertinggi dalam PAS itu memutuskan perkara berkenaan dalam satu mesyuarat di Kota Bharu semalam.

Keputusan Majlis Syura Ulama ini dijangka akan mempengaruhi mesyuarat PAS Pusat yang dijadual diadakan pada 10 Ogos ini.

Namun ada dalam kalangan pemimpin PAS yang berhujah bahawa Majlis Syura Ulama hanya menjaga dasar parti dan tidak boleh campur tangan dalam tindakan yang melibatkan badan eksekutif.

Isu penyingkiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor yang dibangkitkan PKR telah mencetuskan pergeseran dalam kalangan pemimpin PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini telah membuat kenyataan mahu Abdul Khalid dikekalkan dan pendiriannya itu selaras dengan keputusan PAS Selangor.

Beberapa pemimpin PAS berpendapat pandangan Abdul Hadi itu hanyalah bersifat peribadi kerana parti itu belum membuat keputusan rasmi selagi mesyuarat tidak diadakan.

Timbul cakap-cakap dalam kalangan pemerhati politik dan pemimpin PAS sendiri bahawa ada kemungkinan parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika pendirian yang dibuat adalah menyokong Abdul Khalid.

PKR kini sedang berusaha menyingkirkan Abdul Khalid daripada jawatan Menteri Besar Selangor dan menamakan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti.

Namun, Abdul Khalid, yang diberikan surat tunjuk sebab atas dakwaan melanggar keputusan parti, bertegas untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor hingga tamat penggal ini.