Khidmat Haniza Mohamed Talha sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri Selangor tamat hari ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata penamatan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya itu sebagai Exco kerajaan negeri bersesuaian dengan keputusan PKR yang melucutkan keahlian Haniza.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bermesyuarat pada Rabu lepas mengenai status Haniza (sebagai Exco) dan keputusan menamatkan khidmat beliau selari dengan pelucutan keahliannya daripada PKR.

"Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut memberi perkenan mengenai perkara itu pada majlis sembah maklum semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata portfolio itu akan dipangku olehnya dan sebarang program berkaitan portfolio berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih atas sumbangan Haniza.

Pada 29 Jun lepas, Majlis Pimpinan Pusat PKR dengan syor Lembaga Disiplin bersetuju melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza yang merupakan Ketua Wanita PKR.

Keahlian Haniza dalam PKR digantung pada 6 April lepas kerana bertemu dengan bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden parti itu Zuraida Kamarudin di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

-- BERNAMA