KULIM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan arahan penutupan ke atas sebuah kilang memproses ayam di Taman Industri Waja, di sini, kerana gagal membina Sistem Rawatan Efluen Industri bagi merawat air sisa sembelihan ayam.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan di kilang terbabit mendapati, premis berkenaan mengalirkan air sisa buangan tanpa rawatan.

“Ini berikutan tindakan pemilik kilang gagal mengadakan Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian dalam premis sewaktu aktiviti memproses ayam mentah dilakukan.

"Kita telah mengambil Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.

"Premis diarahkan menghentikan operasi supaya langkah-langkah pembaikan dapat dilakukan segera bagi mengawal pencemaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharifah Zakiah berkata, premis itu dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas pihaknya berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil oleh premis.