Skip to main content

Malaysia

Kilang proses getah terbakar: Lima sekolah ditutup setakat semalam

KULAI, 25 Feb -- Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran di sebuah kilang memproses getah di Sengkang, hari ini._BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran di sebuah kilang memproses getah di Sengkang. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Tiga lagi sekolah diarahkan tutup berkuat kuasa semalam susulan kebakaran kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang dekat Kulai sejak kelmarin.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Kulai, SK Taman Kota Kulai 2 dan Sekolah Agama Taman Kota Kulai, menjadikan keseluruhan lima institusi pendidikan terjejas setakat ini.

Advertisement

Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata Pejabat Pendidikan Daerah Kulai berkata kesemua murid di sekolah berkenaan akan menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Jumaat ini.

“Berdasarkan maklumat terkini setakat awal pagi ini, terdapat api yang masih dikesan aktif dan pihak bomba sedang giat melaksanakan operasi pemadaman,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin memaklumkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sengkang dan SJKC Kulai Besar turut diarah tutup dengan 1,531 murid di kedua-dua sekolah itu perlu menjalani PdPR. 

Langkah itu susulan masih terdapat asap serta bau pembakaran yang berpotensi menjejaskan kesihatan warga sekolah sekiranya sesi persekolahan diteruskan dalam keadaan semasa.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.37 petang Selasa yang melibatkan sebuah stor plastik jenis separuh kekal berukuran 300 x 500 x 80 kaki.

Setakat pagi ini, operasi pemadaman yang melibatkan 34 anggota itu mencapai 90 peratus.

Operasi turut menerima bantuan 11 anggota bersama 20 tong buih berkapasiti 20 liter setiap satu daripada pihak industri, manakala bekalan tambahan termasuk 30 tong foam dari negeri berhampiran digerakkan bagi menyokong operasi.

Kerja-kerja pemunggahan menggunakan empat unit jengkaut turut dilaksanakan bagi memudahkan pemadaman di bahagian bawah timbunan bahan, manakala pemantauan imej termal oleh Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor bagi melihat punca haba yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video