Skip to main content

Malaysia

Kisah Aggy satukan Marriott Bonvoy, BMOUIF dalam misi selamatkan orang utan

kempen nasional selamatkan orang utan terancam
Marriott Bonvoy dan BMOUIF ketika melancarkan kerjasama strategik menerusi kempen nasional A Story That Matters: Uniting Hospitality and Conservation for a Better Future. - Foto MK Land
Advertisement

KUALA LUMPUR: Marriott Bonvoy dan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) melancarkan kerjasama strategik menerusi kempen nasional 'A Story That Matters: Uniting Hospitality and Conservation for a Better Future' bagi memperkukuh usaha pemuliharaan orang utan yang semakin terancam di Malaysia.

Inisiatif yang menggabungkan sektor hospitaliti, pemuliharaan dan pendidikan itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melindungi biodiversiti negara, selain menggalakkan lebih ramai pelancong terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan hidupan liar.

Kerjasama berkenaan memanfaatkan rangkaian hospitaliti Marriott Bonvoy bersama pengalaman lebih dua dekad BMOUIF dalam bidang pemuliharaan orang utan, sekali gus menjadikan pengalaman pelancongan sebagai platform menyokong kelangsungan spesies berkenaan.

Teras utama kempen itu ialah kisah Aggy, seekor anak orang utan Borneo yang kehilangan ibunya sejurus selepas dilahirkan tetapi berjaya diselamatkan hasil penjagaan rapi pasukan veterinar dan penjaga di bawah BMOUIF.

Kini, Aggy telah berjaya diperkenalkan semula ke Pulau Orang Utan dan diterima oleh seekor ibu angkat orang utan, menandakan kejayaan penting dalam proses rehabilitasi dan pemuliharaan spesies tersebut.

Naib Presiden Pasaran Malaysia, Marriott International, George Varughese berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen Marriott Bonvoy dalam menjadikan sektor pelancongan sebagai pemangkin kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Hospitaliti bukan sekadar tentang mewujudkan hubungan bermakna sesama manusia, tetapi juga dengan destinasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kita.

“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada tetamu dan ahli Marriott Bonvoy untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi Malaysia serta menyumbang kepada usaha melindunginya untuk generasi akan datang,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, hotel-hotel Marriott Bonvoy di seluruh Malaysia akan memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran tetamu mengenai usaha pemuliharaan orang utan.

Antaranya termasuk kempen media sosial #AStoryThatMatters yang mengetengahkan kisah Aggy, kemudahan sumbangan menerusi kod QR di hotel-hotel Marriott Bonvoy serta kadar kemasukan eksklusif ke Pulau Orang Utan untuk ahli Marriott Bonvoy.

Sepanjang kempen berlangsung, tetamu juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di hotel-hotel terpilih yang memberi pendedahan lebih dekat kepada usaha pemuliharaan orang utan.

Sementara itu, Pengerusi BMOUIF, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad berkata, perjalanan hidup Aggy membuktikan bahawa setiap orang utan mempunyai peluang untuk diselamatkan dan terus berkembang jika diberikan penjagaan yang sewajarnya.

Menurut beliau, BMOUIF kekal komited dalam usaha pemuliharaan, rehabilitasi dan perlindungan orang utan sejak lebih dua dekad lalu, selain percaya kerjasama dengan Marriott Bonvoy mampu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi spesies berkenaan.

“Kerjasama ini akan membolehkan kami mendekati lebih ramai masyarakat dan meningkatkan penghargaan terhadap kekayaan biodiversiti Malaysia.

“Ia juga membuktikan bahawa usaha kolektif, walaupun kecil, mampu memberi impak besar dalam menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.

Sejak ditubuhkan, BMOUIF memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan orang utan melalui program pendidikan, penyelidikan veterinar dan rehabilitasi spesies itu.

Sehingga kini, yayasan berkenaan telah menerima lebih 17,000 pelajar menerusi program pendidikan serta menyokong lebih 430 pelatih dalam bidang perubatan veterinar dan biologi pemuliharaan.

Melalui kempen 'A Story That Matters', Marriott Bonvoy dan BMOUIF berharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia serta pelancong mengenali khazanah alam semula jadi negara, di samping membuktikan bahawa sektor hospitaliti dan pemuliharaan mampu bergerak seiring dalam menghasilkan impak positif yang berkekalan terhadap hidupan liar dan komuniti setempat.

 

Must Watch Video

Advertisement