Peguam kepada bekas menteri kewangan, Gobind Singh Deo menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadap anak guamnya, Lim Guan Eng yang didakwa menerima rasuah dalam projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong menegaskan pihaknya akan lawan habis-habisan bagi membuktikan Guan Eng tidak bersalah dalam pertuduhan itu.

“Kita menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan kita ingin menegaskan sekali lagi bahawa kita akan lawan habis-habisan untuk membuktikan bahawa anak guam kita saudara Lim Guan Eng adalah tidak bersalah dalam tuduhan pada hari ini (Jumaat).

“Kita juga ada dua pertuduhan yang akan dihadapi pada Isnin dan Selasa di Pulau Pinang. Kita akan hadir dan kita lihat apa berlaku di situ.

Selepas itu baru kita akan komen berkenaan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berhubung Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Jenayah 9 di hadapan Hakim Azura Alwi atas dakwaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Mengikut pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah

Suapan itu adalah sebagai upah bagi membantu syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Guan Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin bagi pertuduhan di bawah dakwaan Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Hakim Mahkamah Seksyen Jenayah 9, Azura Alwi turut mengarahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Guan Eng diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.