Skip to main content

Malaysia

KKM masih kaji vaksin denggi dalam Program Imunisasi Kebangsaan - Dzulkefly

SEREMBAN, 27 Ogos -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan hari ini._BERNAMA
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

SEREMBAN: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan kajian dan penilaian secara menyeluruh sebelum menjadikan vaksin denggi sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kajian itu turut merangkumi analisis kos dan faedah memandangkan harga vaksin denggi yang baharu dipasarkan masih agak tinggi.

“Saya tahu ada satu vaksin telah mendapat kelulusan dan pendaftaran Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan digunakan di fasiliti swasta..beri kami sedikit waktu, kita sedang buat analisis kos dan faedah untuk vaksin hari ini, iaitu vaksin denggi dari Jepun.

“Untuk menjadikannya sebahagian daripada NIP bukan mudah, kita kena kaji dengan teliti..selain itu ada beberapa vaksin lain dalam perancangan KKM, kita tunggu yang munasabah dan bakal kita umumkan andainya kita membuat keputusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan (PPPNS) yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Pergigian) dan Pengarah Kesihatan negeri Dr Zuraida Mohamed di sini hari ini.

Dzulkefly berkata lebih 61,000 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara setakat Minggu Epidemiologi ke-33 Tahun 2026 (hingga 22 Ogos), iaitu meningkat 60.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 58 kematian direkodkan.

Beliau berkata KKM mengaktifkan bilik gerakan denggi serta menggerakkan petugas ke kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas terutama di Kuala Lumpur dan Selangor, selain memperluas penggunaan nyamuk berWolbachia sebagai kaedah kawalan biologi.

Dzulkefly berkata usaha membanteras denggi bukan hanya tanggungjawab KKM, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi memastikan kawasan perumahan serta premis tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sementara itu, beliau berkata KKM sedang meneliti cadangan memperluas saringan dan rawatan pergigian asas ke dalam skim PeKa B40 dan akan dilaksanakan secepat mungkin selepas mendapat kelulusan.

Beliau berkata program pergigian wajar diberi perhatian sebagai sebahagian daripada rawatan pencegahan dan penjagaan kesihatan primer, khususnya dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata PPPNS dengan kos RM32 juta itu merupakan fasiliti rujukan kepakaran pergigian di luar persekitaran hospital pertama di Malaysia dan sejak beroperasi mulai 25 Sept 2025, ia telah mengendalikan 11,085 pesakit setakat Jun lepas.

Katanya, PPPNS berfungsi sebagai hab rujukan zon tengah meliputi Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka yang memberi manfaat kepada 11.89 juta penduduk.

"Dengan kelengkapan 18 unit kerusi pergigian moden, kapasiti rawatan harian kita melonjak hampir 90 peratus daripada 80 pesakit kepada 150 pesakit sehari dengan tempoh menunggu rawatan pakar juga berkurang daripada dua bulan kepada dua ke tiga minggu,” katanya.

Beliau berkata transformasi turut dipacu Dental Information System selain kemudahan pengimejan moden serta makmal kemahiran yang berfungsi sebagai pusat latihan klinikal berterusan untuk mengasah kompetensi warga kerja pergigian.

“Model berpusat ini akan diperluas ke negeri lain secara berfasa bermula dengan peringkat zon seperti zon tengah di Negeri Sembilan dan di zon Borneo sebelum diteruskan mengikut negeri demi kesaksamaan akses perkhidmatan,” katanya.

Dzulkefly berkata KKM juga terus mempertingkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan pergigian asas menerusi program jangkauan luar dengan lapan Klinik Pergigian Bergerak baharu bakal diterima pada hujung tahun ini di Sabah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Putrajaya dan Johor.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement