Ketetapan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan di tempat awam yang sesak dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada 23 Julai yang lalu.
Hal ini adalah bertepatan dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan melalui Garis Panduan Interim berkaitan Nasihat Penggunaan Pelitup Muka Dalam Konteks COVID-19 bertarikh 5 Jun yang lalu, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
WHO menyatakan bahawa penggunaan pelitup muka adalah sebahagian daripada langkah komprehensif dalam usaha pencegahan dan kawalan yang dapat mengehadkan penyebaran penyakit jangkitan pernafasan tertentu yang disebabkan oleh virus, termasuk COVID-19.
Ia boleh digunakan sama ada sebagai perlindungan untuk orang yang sihat (dipakai untuk mengelakkan dari terkena jangkitan ketika berurusan dengan individu yang telah dijangkiti) atau untuk kawalan terhadap sumber jangkitan (source ontrol) (dipakai oleh yang individu yang telah dijangkiti untuk mengelakkan jangkitan seterusnya).
Penguatkuasaan peraturan ini di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) membolehkan mana-mana individu yang gagal mematuhinya berhadapan dengan risiko didenda RM1,000 atau dipenjara.
Tindakan tegas seperti ini dari pihak kerajan adalah sangat wajar serta dialu-alukan bagi mencegah penularan COVID-19 yang dilihat mula menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Namun begitu, menjadi kegusaran dalam kalangan masyarakat apabila tiada perincian yang khusus diberikan terhadap frasa ‘tempat awam yang sesak’ yang dimaksudkan dalam peraturan baharu itu.
Pihak KKM selaku agensi yang berkuasa dalam menguatkuasakan akta berkenaan seharusnya memberi penjelasan lanjut terhadap frasa tersebut, merangkumi definisi dan ciri-ciri berkaitan, termasuklah penyenaraian tempat awam tersebut sepertimana senarai Kawasan Larangan Merokok di bawah peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Dalam masa yang sama, penelitian semula terhadap arahan dan saranan terdahulu terutamanya terhadap pemakaian pelitup muka semasa bersenam atau beriadah dan di sekolah, patut dimurnikan semula.
Perkara ini penting supaya ia tidak mewujudkan salah faham dan menjadi pertikaian kepada orang ramai mahupun pihak berkuasa itu sendiri, apabila dikuatkuasakan kelak.
Walau bagaimanapun, penggunaan pelitup muka sahaja tidak mencukupi untuk menyediakan perlindungan atau kawalan terhadap sumber jangkitan dalam situasi ini.
Langkah-langkah lain seperti mengamalkan kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dan memastikan jarak sosial yang selamat (tidak kurang dari 1 meter), adalah lebih penting dilaksanakan bagi mencegah penularan COVID-19 dari manusia ke manusia.
Terus mengamalkan pendekatan 3W (wash, wear, warn) dan mengelakkan 3S atau 3C (sesak, sempit, sembang dekat) sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian. Kita Jaga Kita, Kita Belum Menang.
* Penulis adalah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.