PUTRAJAYA: Siasatan lanjut berkenaan pengesanan satu kes varian Omicron di Indonesia melibatkan individu yang baru pulang dari Malaysia sedang dijalankan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga sedang bekerjasama rapat dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia, Kementerian Kesihatan Indonesia dan Jabatan Imigresen bagi pengesanan kontak rapat kepada kes tersebut.

Kementerian Kesihatan Indonesia dalam satu kenyataan pada 23 Dis memaklumkan ia mengesahkan tiga kes COVID-19 melibatkan varian Omicron di negara itu dan satu daripada kes merupakan pekerja asing rakyat negeri itu yang bekerja di Malaysia.

Menurut Khairy, lelaki warganegara Indonesia berumur 20 tahun itu pulang ke negara berkenaan pada 10 Dis lepas dengan ujian COVID-19 adalah negatif semasa ketibaan.

"Hasil ujian COVID-19 pada 16 Dis di Indonesia semasa dalam tempoh kuarantin disahkan positif COVID-19 dengan varian Omicron pada 21 Dis," katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Kata Khairy, hasil siasatan di Malaysia mendapati individu berkenaan merupakan pendatang tanpa izin di Depoh Tahanan Semenyih yang ditahan pada 22 Sept bersama tiga lagi rakannya.

"Keempat-empat mereka melakukan saringan kemasukan ke depoh pada 23 Sept dan kesemuanya negatif, dan dua rakannya dibebaskan pada 24 Sept kerana mempunyai dokumen lengkap.

"Hanya kes dan seorang lagi rakan kes disabitkan kesalahan dan dihantar pulang pada 10 Dis setelah selesai perbicaraan," jelasnya.

Khairy berkata sehingga kini, rakan kes yang pulang bersama dimaklumkan adalah negatif COVID-19 pada saringan COVID-19 kedua.

-- BERNAMA