NATIONAL
KKM tawar vaksin Tdap percuma kepada ibu mengandung

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin imunisasi Tdap secara percuma kepada ibu mengandung. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menawarkan vaksin imunisasi Tdap secara percuma kepada ibu mengandung yang berada dalam usia kehamilan antara 28 hingga 32 minggu, bermula hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin Tdap yang melindungi daripada jangkitan tetanus, difteria dan pertusis (batuk kokol) boleh didapati di semua fasiliti kesihatan primer KKM yang menyediakan perkhidmatan kesihatan ibu di seluruh negara.
“Pemberian vaksin ini bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi yang baru lahir, khususnya terhadap pertusis yang boleh menyebabkan komplikasi serius sebelum mereka melengkapkan jadual imunisasi asas.
“Kajian antarabangsa menunjukkan vaksin ini adalah selamat dan berkesan, tanpa menambah risiko kepada ibu mahupun bayi,” katanya semasa Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa pengambilan vaksin Tdap tidak diwajibkan, namun KKM amat menggalakkan ibu mengandung untuk menerimanya demi melindungi bayi mereka.
Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa vaksinasi untuk ibu mengandung merupakan sebahagian daripada strategi imunisasi sepanjang hayat yang turut merangkumi pelaksanaan Program Vaksin Influenza untuk warga emas yang telah dilancarkan pada 18 Februari lalu.
Program itu menyasarkan golongan berusia 60 tahun ke atas yang menghidap penyakit kronik, dan sehingga semalam, seramai 97,355 warga emas telah menerima suntikan vaksin berkenaan di fasiliti KKM.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dasar vaksinasi negara sentiasa disemak berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan antarabangsa. Justeru, semua vaksin yang digunakan di Malaysia telah melalui proses penilaian ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) dan dipantau secara berterusan oleh KKM.
“Penyebaran berita palsu berkaitan vaksin semakin membimbangkan dan boleh menggugat keyakinan awam. Saya faham masih ada ibu bapa yang ragu-ragu.
“Namun, saya menyeru agar masyarakat sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerana keputusan yang kita buat hari ini akan memberi kesan besar terhadap kesihatan generasi akan datang,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami