Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti semula keperluan menempatkan pengembara di hotel atau pusat kuarantin untuk proses kuarantin wajib.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu dicadangkan terhadap pengembara yang tidak mempunyai persekitaran sesuai untuk menjalani kuarantin di rumah dan individu pulang dari negara berisiko tinggi COVID-19.

"Polisi bagi pengembara yang pulang ke negara ini ketika ini adalah mereka perlu melakukan ujian RTK-Antigen dan ujian saringan COVID-19 sekurang-kurangnya tiga hari sebelum mereka berlepas, itu adalah langkah yang terbaik.

"Ia akan dapat membantu sekiranya kita tahu mereka disahkan negatif sebelum menaiki kapal terbang dan jika sebaliknya, kita perlu melakukan saringan terhadap mereka yang duduk bersebelahan atau mungkin terhadap keseluruhan penumpang jika ujian tidak dilakukan lebih awal.

"Jadi ketika ini kami sedang meniliti semula keperluan untuk kuarantin wajib sama ada di pusat kuarantin atau hotel bagi mereka yang tidak mempunyai persekitaran yang sesuai di rumah," katanya.

Jelas Dr Noor Hisham, cadangan itu juga mungkin akan terpakai kepada mereka yang kembali dari negara berisiko tinggi.

Beliau berkata, perkara berkenaan dilihat munasabah bagi mengelakkan kejadian seperti Kluster Pesakit Bawah Pemantauan (PUI) Novgorod, daripada berulang.