MERSING: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mengemukakan cadangan menaik taraf dan membaiki jajaran FT003 (Jalan Johor Bahru-Endau) melibatkan lokasi sering kemalangan dan terjejas banjir untuk dimasukkan dalam Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan yang melibatkan kerja-kerja naik taraf dan membaiki jajaran jalan di Seksyen 106 hingga Seksyen 118, dianggar melibatkan kos lebih RM100 juta.

Beliau berkata KKR berhasrat mengemukakan cadangan itu selepas berbincang dengan Jabatan Kerja Raya negeri dan melihat kepentingan projek berkenaan.

"Kita (KKR) anggap (projek) ini sebagai penting demi keselamatan nyawa sebab sebahagian dalam jajaran ini memang dikatakan 'black spot' (iaitu) kerap berlaku kemalangan dan banyak juga kehilangan nyawa selama ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau laluan itu di sini hari ini.

Berdasarkan data JKR, sepanjang tiga tahun bermula 1 Jan 2021 hingga 10 Dis lepas, sebanyak 103 kemalangan direkodkan di laluan FT003 di daerah ini, bermula dari sempadan Kota Tinggi hingga Rompin, Pahang.

Daripada 103 kemalangan itu, 27 kes adalah melibatkan kemalangan maut.

Sementara itu, Nanta berkata jajaran yang dicadang untuk dinaik taraf itu juga sering terjejas banjir, justeru terdapat kepentingan untuk diutamakan.

Beliau berkata cadangan itu juga merupakan kesinambungan kepada kerja-kerja menaik aras jalan iaitu laluan FT003 (Jalan Kota Tinggi-Mersing) melibatkan anggaran kos sebanyak RM120 juta yang telah diluluskan permohonan dalam Rolling Plan Keempat (RMK-12).

Setakat ini, beliau berkata terdapat empat lokasi di Kota Tinggi di laluan berkenaan yang dikenal pasti berisiko dinaiki air apabila hujan lebat iaitu Seksyen 47-Seksyen 49 (berhampiran Lembaga Getah Malaysia), Seksyen 55-56 (Kim Long), Seksyen 59-61 (Yatama City) dan Seksyen 71-72 (RISDA).

Laluan FT003 merupakan jalan penghubung utama dari Kota Tinggi ke Mersing serta negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung.

Terdahulu, Nanta turut meninjau lokasi cerun runtuh di FT003 Jalan Johor Bahru-Kampung Sawah Dato' di sini.

-- BERNAMA