NATIONAL
KKR, NRES perkukuh kerjasama lindungi hidupan liar

Menteri Kerja Raya Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri). Foto Facebook Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersetuju memperkukuh kerjasama dalam melindungi hidupan liar di negara ini.
Ringkasan AI
- Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memperkukuh kerjasama bagi melindungi hidupan liar, susulan insiden kematian anak gajah di JRTB Gerik-Jeli.
- Kedua-dua kementerian bersetuju memperluas penggunaan teknologi dalam pembangunan infrastruktur jalan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
- Isu pemajakan tanah, rizab jalan, dan penyelarasan projek infrastruktur turut dibincang bagi memastikan pelaksanaan projek kerajaan lebih efisien dan lestari.
"Kedua-dua kementerian bersetuju untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam melindungi hidupan liar. Di bawah kawal selia KKR, saya menegaskan bahawa penggunaan teknologi dalam infrastruktur jalan raya akan diperluas," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata sinergi antara kedua-dua kementerian itu amat penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara dapat dilaksanakan secara telus, efisien dan mampan, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat dan alam sekitar.
Selain itu, Nanta berkata isu pengambilan tanah, kawasan rizab jalan (ROW) dan pemajakan tanah di sepanjang lebuh raya juga antara perkara utama yang memerlukan penyelarasan rapi antara kedua-dua kementerian.
Beliau berkata pertemuan berkenaan penting bagi membuka ruang perbincangan menyeluruh melibatkan pelbagai isu di bawah bidang kuasa bersama, khususnya berkaitan pelaksanaan pelbagai projek kerajaan dan komersial yang melibatkan tanah milik kerajaan.
"KKR bertanggungjawab terhadap perancangan, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur jalan raya serta mengurus ROW, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.
"Pada masa yang sama, pemajakan tanah di sepanjang lebuh raya untuk tujuan pembangunan pula berada dalam radar kawal selia bersama KKR dan NRES," katanya.
Nanta berkata NRES pula memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan, pewartaan dan kelulusan tanah serta pemeliharaan sumber semula jadi termasuk urusan hak milik tanah, kebenaran merancang dan aspek kelestarian alam sekitar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami