BULI mungkin dianggap perkara biasa oleh mereka yang tidak pernah mengalaminya. Namun bagi seorang anak yang pulang dalam ketakutan, hilang keyakinan diri atau enggan ke sekolah, kesannya tidak boleh dipandang ringan.
Lebih membimbangkan, sekolah yang mencatatkan sifar laporan buli belum tentu bebas daripada kejadian itu. Mangsa mungkin takut bersuara, tidak tahu kepada siapa perlu mengadu atau tidak yakin tindakan akan diambil.
Sebab itu, sekolah selamat tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah laporan semata-mata. Murid juga perlu berani melapor dan yakin mereka akan didengar, dilindungi serta dibantu.
Apabila berlaku buli, kita sering bertanya siapa yang bersalah dan apakah hukuman yang patut dikenakan. Namun satu lagi persoalan perlu diberi perhatian: mengapa seseorang memilih untuk menyakiti orang lain?
Dalam Choice Theory Reality Therapy yang diperkenalkan William Glasser, manusia mempunyai beberapa keperluan asas, termasuk untuk berasa selamat, disayangi, dihargai, bebas dan gembira. Manusia juga mahu diterima dan merasakan dirinya bernilai.
Masalah timbul apabila keperluan itu cuba dipenuhi melalui tingkah laku yang merosakkan orang lain. Seorang murid mungkin mahu dihormati tetapi menggunakan ketakutan untuk mendapatkannya. Ada juga yang membuli kerana mahu diterima dalam kelompok tertentu.
Justeru, buli bukan semata-mata masalah disiplin tetapi turut melibatkan hubungan sesama manusia. Pendidikan antibuli tidak boleh terhenti pada arahan “jangan membuli”. Anak-anak perlu diajar bagaimana bergurau tanpa menghina dan berbeza pendapat tanpa membenci.
Memahami psikologi pelaku tidak bermaksud kita berkompromi dengan perbuatannya. Buli tetap salah dan jika dibiarkan, ia boleh berkembang daripada ejekan kepada ugutan serta kekerasan fizikal.
Kajian longitudinal dan meta-analisis turut menunjukkan pelaku buli di sekolah mempunyai risiko lebih tinggi untuk terlibat dalam kesalahan jenayah pada kemudian hari, walaupun faktor risiko lain diambil kira. Ini tidak bermaksud setiap pembuli akan menjadi penjenayah, tetapi risikonya tidak boleh diketepikan.
Setiap kali kes buli berlaku, antara persoalan yang sering timbul ialah: “Di mana guru?” Soalan itu wajar, tetapi kita juga perlu melihat beban tugas yang sedang ditanggung guru.
Selain mengajar, mereka mengurus pentaksiran, dokumentasi, program sekolah, kokurikulum, mesyuarat, komunikasi dengan ibu bapa dan disiplin. Dalam keadaan itu, perubahan tingkah laku seseorang murid mungkin terlepas daripada perhatian.
Penempatan MySTEP Pembantu Guru serta 600 Pembantu Warden Asrama pada 2026 merupakan langkah yang baik. Namun sokongan kepada guru dan warden perlu terus diperkukuh jika mereka mahu diberi tanggungjawab lebih besar dalam menangani buli.
Penyelesaiannya bukan dengan menambah satu lagi senarai tugas antibuli kepada guru. Tugas bukan hakiki perlu dikurangkan, personel sokongan diperkukuh dan mekanisme pelaporan dipermudah.
Jika kita mahu guru memberi perhatian kepada kesejahteraan murid, mereka juga memerlukan sistem sokongan yang baik. Begitu juga guru bimbingan dan kaunseling. Nisbah kaunselor dengan murid berkait dengan keupayaan sekolah mengesan dan menangani masalah lebih awal.
Pencegahan buli perlu melibatkan sekolah, guru, kaunselor, warden, ibu bapa, rakan sebaya dan murid sendiri. Kaunselor tidak seharusnya hanya terlibat selepas masalah berlaku, manakala laporan buli perlu dilihat sebagai maklumat untuk tindakan dan bukannya isu reputasi sekolah.
Ibu bapa juga mempunyai peranan. Rumah ialah tempat awal anak mempelajari cara berkomunikasi, mengurus kemarahan dan melayan orang lain.
Apabila berlaku buli, ibu bapa tidak boleh hanya bertanya, “Apa sekolah sudah buat?” Mereka juga perlu melihat tingkah laku yang dipelajari anak di rumah. Jika anak menjadi mangsa, dengar tanpa menyalahkannya. Jika anak menjadi pelaku, jelaskan bahawa perbuatannya salah dan perlu diperbetulkan.
Pada peringkat nasional, sebuah Task Force atau Special Interest Group (SIG) Antibuli yang bersifat multidisiplin boleh dipertimbangkan supaya usaha menangani buli bergerak secara berterusan dan bukan hanya apabila sesuatu kes menjadi tular. Akta Antibuli 2026 [Akta 876] dan Tribunal bagi Antibuli menyediakan saluran kepada mangsa, tetapi masyarakat juga perlu mengetahui hak dan saluran yang tersedia.
UPSI mempunyai beberapa modul intervensi berasaskan penyelidikan dan amalan kaunseling, antaranya Modul Prodigy, modul berasaskan Terapi Realiti, Manual Guru: Pencegahan Buli di Sekolah serta Modul Pemerkasaan Menangani Buli dalam Perkhidmatan Kaunseling di Sekolah. Modul ini boleh digunakan dalam latihan guru, kaunselor, warden dan pengurusan sekolah bagi pencegahan, pengesanan awal dan intervensi.
Akhirnya, menangani buli tidak boleh bergantung kepada peraturan dan hukuman semata-mata. Pencegahan perlu bermula sebelum sesuatu kejadian berlaku, manakala mangsa, pelaku dan saksi perlu mendapat intervensi yang sesuai. Buli bukan gurauan dan menanganinya memerlukan kerjasama keluarga, sekolah serta masyarakat.
*Prof. Dr. Ahmad Jazimin Jusoh merupakan Profesor di Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kepakaran beliau merangkumi bidang kaunseling sekolah serta aplikasi Choice Theory Reality Therapy dalam kaunseling. Beliau turut aktif dalam Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) dan kini berkhidmat sebagai Setiausaha PERKAMA International.
**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.