MALAYSIA
[KOLUMNIS] Kesukarelawanan mahasiswa jayakan hasrat keterangkuman dan kemampanan ASEAN 2025
![[KOLUMNIS] Kesukarelawanan mahasiswa jayakan hasrat keterangkuman dan kemampanan ASEAN 2025 [KOLUMNIS] Kesukarelawanan mahasiswa jayakan hasrat keterangkuman dan kemampanan ASEAN 2025](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/81748996246_mahasiswaUMT.jpg)
Kesukarelawanan didefinisikan sebagai bentuk tindakan yang dilakukan secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.
MISI Sidang Kemuncak ASEAN 2025 baru-baru ini untuk menjayakan agenda keterangkuman dan kemampanan memerlukan suatu anjakan paradigma dan penghayatan nilai sebenar.
Nilai kemanusiaan seperti empati, peduli dan kecaknaan misalnya akan menggerakkan manusia memelihara dunia dan memperjuangkan nasib masyarakat yang memerlukan sekali gus mencapai matlamat keterangkuman dan kemampanan.
Nilai kemanusiaan juga akan menyirnakan rasa individualistik sebaliknya sentiasa prihatin dan cakna dengan situasi yang berlaku.
Mereka bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi mencari jalan penyelesaian agar sesuatu isu dapat ditangani dengan berkesan.Justeru, istilah seperti memanusiakan manusia atau lebih khusus lagi memanusiakan mahasiswa sebagai golongan terpelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bukan lagi pilihan tetapi suatu kemestian.
Merentasi kehidupan sebagai mahasiswa di IPT, mereka tidak boleh menjadi golongan yang hanya mengejar pencapaian akademik semata-mata.
Sebaliknya, mereka perlu mencipta, membentuk dan menerap sahsiah seimbang yang dipacu oleh nilai kemanusiaan.
Dalam konteks kemanusiaan, kesukarelawanan terbukti sebagai medium yang berkesan untuk membentuk mahasiswa yang empati, bertanggungjawab dan cakna terhadap realiti masyarakat sekeliling.
Golongan mahasiswa adalah ejen paling berkesan untuk memulihkan dan memperkukuhkan kembali asas-asas kemanusiaan dalam masyarakat.
Dalam program Syarahan Awam Kebitaraan Mahasiswa Siri 4 anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT yang telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif, Dr Wan Ahmad Hazman Wan Daud baru-baru ini, beliau berkongsi pengalaman bagaimana kesukarelawanan dapat membina nilai kemanusiaan yang jitu dalam kalangan mahasiswa.
Paling berbekas di ingatan bagaimana beliau menjelaskan kesukarelawanan mengajar kita erti kesyukuran dan cukup dalam hidup.
Kesukarelawanan didefinisikan sebagai bentuk tindakan yang dilakukan secara sukarela tanpa mengharapkan balasan.
Bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab sosial, keprihatinan, dan empati terhadap komuniti atau masyarakat sekeliling.
Dalam konteks mahasiswa, aspek kesukarelawanan bukan sahaja terikat dengan penyertaan dalam program seperti khidmat masyarakat, bantuan bencana, kelas tuisyen percuma atau program alam sekitar, malah ia merupakan ruang untuk mendidik jiwa dan membina karakter.
Aktiviti kesukarelawanan juga mendorong mahasiswa untuk mahir dengan pelbagai kemahiran insaniah. Kemahiran pengurusan masa, kerjasama dalam pasukan, penyelesaian masalah secara kreatif dan berkomunikasi dengan baik dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Berdasarkan kepada Kajian Impak Sosial oleh Yayasan Sukarelawan Siswa (2021), lebih 70 peratus mahasiswa yang melibatkan diri dalam program komuniti berupaya meningkatkan pemahaman sosial dan kemahiran kepimpinan. Ini menunjukkan pengalaman turun padang amat penting bagi membentuk insan holistik.
Peranan Institusi pengajian tinggi adalah sangat penting dan signifikan dalam memupuk budaya kesukarelawanan.

Timbalan Naib Canselor (HEPA) UMT, Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain (kiri) sentiasa komited menyokong usaha kemanusiaan yang dilakukan oleh mahasiswa UMT.
Program khidmat masyarakat perlu diadun dalam kurikulum akademik melalui tatacara pembelajaran berasaskan komuniti (service learning), subjek kokurikulum atau projek tahun akhir.
Melalui kaedah ini, sasaran mahasiswa bukan sahaja untuk memperoleh gred, tetapi juga pengalaman hidup yang bermakna. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut mendukung secara holistik program-program berbentuk kesukarelawanan melalui program Santuni Komuniti.
Subjek pengajian berdurasi satu jam kredit ini membolehkan mahasiswa mempraktikkan kemahiran kesukarelawanan bersama komuniti dalam setiap program yang dilaksanakan.
Selain daripada penumpuan kepada asimilasi subjek akademik kepada aktiviti nyata bersama komuniti, peranan Kelab atau persatuan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan juga signifikan.
Gabungan Sukarelawan Siswa (GASS), Kelab Penyayang dan beberapa kelab mahasiswa di bawah naungan HEPA UMT turut menyumbang bakti melaksanakan pelbagai aktiviti kesukarelawanan.
Sehingga Mac 2025, sebanyak lapan program kesukarelawanan dengan penglibatan 347 mahasiswa telah dilaksanakan sama dalam negara dan negara ASEAN.
Penglibatan aktif mahasiswa UMT dalam program kesukarelawanan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan penglibatan sembilan orang mahasiswa bagi program kesukarelawanan di Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Kementerian Perpaduan Malaysia.
Angka ini menunjukkan komitmen yang jitu mahasiswa UMT dalam menerapkan nilai-nilai kesukarelawanan di pelbagai peringkat.
Secara tuntas, kesukarelawanan bukan hanya pelaksanaan aktiviti luar waktu kuliah, namun ia adalah madrasah kehidupan yang membentuk nilai kemanusiaan dalam diri mahasiswa.
Dalam kehidupan dunia yang semakin mencabar rohani dan jasmani, nilai-nilai inilah yang akan menjadi pedoman dalam membentuk keputusan, tindakan dan hala tuju mahasiwa.
Apabila kesukarelawanan dijadikan sebagai sebahagian daripada gaya hidup, maka generasi yang lebih prihatin, beretika, dan seimbang antara kecemerlangan intelek dan kekuatan emosi serta spiritual akan wujud dan memberi kesan yang signifikan kepada kehidupan masyarakat yang lebih harmoni.
Seterusnya, masyarakat akan mendapat manfaat daripada kewujudan warga muda yang tidak hanya berfikir tentang diri sendiri, tetapi juga tentang kesejahteraan kehidupan bersama melalui kesukarelawanan.
Ini sekali gus dapat menjayakan misi penting seperti dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025 baru-baru ini yang beriltizam memperteguhkan matlamat keterangkuman dan kemampanan.
* Oleh Mohd Yusmiza Mamat ialah Timbalan Pengarah Kolej Kediaman (Luar Kampus), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami