RASUAH merupakan cabaran besar kepada kerajaan dan negara.

Usaha untuk mengurangkan korupsi dan rasuah secara ketara adalah salah satu sasaran yang penting dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ke-16 iaitu 'Menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat'.

Matlamat tersebut perlu untuk kita capai menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada 27 Julai 2023 sempena peluncuran 'Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat' telah menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

Penanda aras keenam meletakkan sasaran negara untuk mencapai kedudukan negara di tangga 25 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI).

Untuk rekod, Malaysia kini berada di kedudukan ke-61 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021 dalam CPI 2022 yang dikeluarkan oleh TI pada 31 Januari 2023.

Bagaimanapun, skor Malaysia jatuh satu mata iaitu daripada 48 mata pada 2021 kepada 47 mata pada 2022.

Secara asasnya, CPI menggambarkan bagaimana rasuah dilihat dalam sektor awam sesebuah negara.

Ia berfungsi sebagai penunjuk global berkaitan tahap kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap tadbir urus dan tahap rasuah sesebuah negara.

Meningkatkan CPI bukan sahaja meningkatkan reputasi negara tetapi juga memupuk persekitaran yang kondusif untuk pembangunan dan pelaburan yang mampan.

CPI 2022 dikira menggunakan 13 sumber data yang berkaitan rasuah daripada 12 institusi berbeza dalam tempoh dua tahun lalu.

Manakala, dalam menentukan kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2022, sebanyak sembilan sumber data telah digunakan oleh TI seperti Bertelsmann Stiftung Transformation Index, Economist Intelligence Unit Country Risk Service, Global Insight Country Risk Ratings dan IMD World Competitiveness Center World Competitiveness Yearbook Executive Opinion Survey.

Selain itu, sumber data Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence, The PRS Group International Country Risk Guide, World Economic Forum Executive Opinion Survey, World Justice Project Rule of Law Index Expert Survey dan Varieties of Democracy (V-Dem) turut digunakan untuk penentuan berkenaan.

Sesungguhnya, pelbagai pendekatan atau inisiatif pernah dijalankan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah dengan mensasarkan kedudukan tertentu negara dalam CPI.

Namun, sehingga kini, didapati tiada usaha yang terancang, bersepadu dan berterusan serta agensi kerajaan yang khusus untuk melihat atau mengambil tanggungjawab bagi mengetuai usaha memperbaiki kedudukan negara dalam CPI.

Mungkin sesetengah pihak berpandangan bahawa CPI ini hanyalah satu indeks yang dibangunkan berlandaskan persepsi semata-mata, dan kita patut abaikannya dengan hanya membenteras rasuah di negara ini dengan cara kita.

Namun, kita perlu ingat bahawa persepsi negara luar dan pelabur asing kepada negara kita berkaitan tahap perlakuan rasuah adalah bergantung kepada kedudukan negara dalam CPI.

Kita juga perlu sedar bahawa sejak kebelakangan ini, kedudukan dan skor negara adalah pada tahap yang kurang memberangsangkan.

Sudah tiba masanya untuk kita menggunakan pendekatan baharu dalam menangani isu CPI ini, dan pendekatan tersebut mestilah memberikan output dan impak dengan segera dan berkesan bagi memastikan kedudukan negara dalam CPI meningkat setiap tahun.

Justeru itu, usaha untuk meningkatkan CPI Malaysia memerlukan satu mekanisme atau pendekatan baharu yang melibatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat sivil.

Ketiga-tiga pihak tersebut merupakan pemegang taruh utama yang memainkan peranan penting dalam usaha menegakkan integriti dan memperjuangkan amalan tadbir urus yang baik.

Sesungguhnya, usaha untuk meningkatkan CPI negara tidak boleh diletakkan di atas tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Semua pihak kena bersama-sama memikul tanggungjawab untuk meningkatkan imej dan persepsi luar kepada negara terutama berkaitan integriti, tata kelola dan rasuah.

Usaha untuk meningkatkan CPI bukanlah satu aspirasi yang mustahil untuk dicapai negara. Usaha murni ini tidak hanya terbatas kepada aspek pembanterasan rasuah semata-mata.

Usaha ini juga boleh dijadikan matlamat nyata yang boleh dicapai melalui langkah bersepadu dan terancang melalui penekanan kepada pembudayaan integriti dan tata kelola baik dalam masyarakat.

Institut integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi utama dalam membangunkan budaya integriti kini peranan untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti dan tata kelola sektor awam dan swasta bagi membantu negara dalam merealisasikan objektif untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integriti, dan bukannya rasuah.

Pada masa yang sama, IIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan integriti dalam pelbagai sektor dalam masyarakat.

Antara inisiatif utama IIM ialah Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) yang melibatkan penyertaan sektor swasta dan sektor awam; Modul Komprehensif Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (SME); Pembangunan Integriti Bersama Komuniti (CIB IIM) yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti setempat dan pembekal perkhidmatan; Manual Seksyen Latihan 17A Akta SPRM 2009 dan Tatacara Mencukupi bagi kegunaan latihan untuk sektor swasta; dan Modul Integriti Penguat Kuasa (MPI) untuk latihan agensi penguat kuasa.

Sehubungan itu, penekanan terhadap penerapan dan pembudayaan integriti dan nilai-nilai murni secara berterusan dan terancang dalam kalangan masyarakat demi kelestarian negara amatlah perlu walaupun ia mengambil masa yang lama.

Paling penting, gerakan ini perlu bermula segera dengan mendapat kerjasama serta sokongan dan dokongan semua sektor dalam masyarakat. Berkaitan ini, IIM sentiasa komited dalam pembudayaan integriti dalam negara.



* Datuk Nor Yahati Awang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.