SUATU ketika dahulu, perbincangan mengenai kesihatan sering terhad kepada penyakit fizikal.
Namun hari ini, masyarakat semakin terbuka membicarakan pelbagai isu yang suatu masa dahulu dianggap sensitif.
Dari kolesterol tinggi dan diabetes hinggalah kepada kesihatan mental, gaya pemakanan, rawatan estetik dan prosedur kosmetik, semuanya kini menjadi topik perbualan harian.
Anehnya, apabila perbincangan beralih kepada satu perkara yang tidak kurang pentingnya iaitu kos rawatan dan kemampuan kewangan, ramai masih memilih untuk berdiam diri.
Realitinya, wang dan kesihatan sentiasa mempunyai hubungan yang rapat.
Namun dalam budaya masyarakat kita, membincangkan soal kos rawatan sering dianggap tidak sesuai, malah ada yang melihatnya seolah-olah mencemarkan nilai kemanusiaan dalam sistem penjagaan kesihatan.
Persoalannya, adakah dengan mengelakkan topik tersebut, masalah benar-benar dapat diselesaikan?
Ramai yang melihat hospital sebagai institusi yang berfungsi semata-mata untuk menyelamatkan nyawa.
Pandangan itu memang benar, tetapi pada masa yang sama terdapat satu hakikat yang sering diabaikan: sistem penjagaan kesihatan tidak boleh beroperasi tanpa sumber kewangan yang kukuh.
Hospital memerlukan doktor, jururawat dan tenaga sokongan yang dibayar gaji.
Peralatan perubatan moden perlu diperoleh dan disenggara. Ubat-ubatan, bahan guna habis, teknologi digital, utiliti serta pelbagai keperluan operasi lain turut memerlukan perbelanjaan yang besar.
Dalam sistem kesihatan awam, sebahagian besar kos itu ditanggung melalui subsidi kerajaan dan wang pembayar cukai.
Dalam sektor swasta pula, pembiayaan datang daripada bayaran pesakit, perlindungan insurans, manfaat yang disediakan majikan serta pelbagai bentuk pembiayaan kewangan.
Hakikatnya, sama ada kita mahu mengakuinya atau tidak, setiap rawatan mempunyai kos. Bezanya hanyalah siapa yang menanggung kos tersebut.
Mengapa kita begitu tidak selesa berbicara tentang wang?
Salah satu sebab utama ialah persepsi bahawa kesihatan merupakan sesuatu yang suci dan tidak sepatutnya dikaitkan secara terbuka dengan keuntungan atau bayaran.
Doktor dilihat sebagai individu yang merawat pesakit tanpa mengira keuntungan.
Hospital pula dianggap tempat perlindungan ketika berdepan saat paling sukar dalam kehidupan. Maka apabila soal harga dibincangkan, ia sering mencetuskan rasa kurang selesa.
Akibatnya, banyak pihak memilih untuk mengelak daripada bercakap mengenainya.
Ironinya, sikap itu mungkin menyebabkan lebih banyak masalah daripada penyelesaian.
Apabila perbincangan mengenai kos ditangguhkan, pesakit dan keluarga sering hanya mula memikirkan soal kemampuan apabila keadaan sudah mendesak.
Ketika itu, mereka bukan sahaja sedang berdepan cabaran kesihatan, malah perlu membuat keputusan kewangan yang besar dalam keadaan emosi yang tertekan.
Apabila perbincangan berlaku terlalu lewat
Di sinilah munculnya fenomena yang semakin membimbangkan.
Ada pesakit yang menangguhkan rawatan kerana bimbang tidak mampu membayarnya.
Ada yang mengurangkan pelan rawatan tanpa berbincang secara terbuka dengan pakar perubatan.
Tidak kurang juga yang menggunakan simpanan pendidikan anak-anak, mengorbankan dana persaraan atau bergantung kepada hutang kad kredit untuk menampung kos rawatan.
Dalam banyak keadaan, tekanan kewangan akhirnya menjadi masalah kesihatan yang kedua.
Kajian di pelbagai negara menunjukkan bahawa tekanan kewangan boleh memberi kesan kepada kesejahteraan mental, meningkatkan tahap kebimbangan dan menjejaskan proses pemulihan pesakit.
Dengan kata lain, kebimbangan mengenai bil hospital kadangkala boleh menjadi beban yang hampir sama berat dengan penyakit itu sendiri.
Justeru, persoalan mengenai kemampuan sepatutnya dibincangkan lebih awal dan bukannya ketika semua pilihan semakin terhad.
Kos kesihatan semakin meningkat
Cabaran ini menjadi lebih ketara apabila kos penjagaan kesihatan terus meningkat setiap tahun.
Kenaikan harga peralatan perubatan, ubat-ubatan, bahan guna habis dan teknologi rawatan moden memberi tekanan kepada sistem kesihatan di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada trend tersebut.
Pada masa sama, sektor kesihatan turut berdepan isu tenaga kerja termasuk kekurangan jururawat dan tenaga profesional yang berkemahiran tinggi.
Semua faktor ini akhirnya mempengaruhi kos penyampaian perkhidmatan.
Dalam keadaan tersebut, ramai pengguna mula menyedari bahawa perlindungan insurans yang dimiliki tidak semestinya melindungi semua kos yang diperlukan.
Bayaran bersama, had tahunan, pengecualian tertentu dan siling manfaat sering hanya disedari apabila seseorang benar-benar memerlukan rawatan.
Kesedaran mengenai perkara ini sepatutnya berlaku lebih awal, bukannya ketika pesakit sudah berada di atas katil hospital.
Masyarakat hari ini semakin bijak merancang kewangan untuk membeli rumah, membiayai pendidikan anak-anak dan membina simpanan persaraan.
Namun apabila menyentuh soal kesihatan, ramai masih bergantung kepada harapan bahawa sesuatu yang buruk tidak akan berlaku.
Sedangkan realitinya, keperluan perubatan adalah antara perkara yang paling pasti dalam kehidupan manusia.
Bercakap mengenai wang dalam konteks penjagaan kesihatan bukan bermaksud meletakkan nilai harga pada nyawa, sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada perancangan yang bertanggungjawab.
Perbincangan yang telus mengenai kos membolehkan pesakit memahami pilihan yang ada, membuat keputusan yang lebih rasional dan mengelakkan kejutan kewangan pada saat yang paling mencabar.
Malaysia sedang bergerak ke arah masyarakat yang lebih celik kesihatan. Namun celik kesihatan tanpa kesiapsiagaan kewangan masih meninggalkan satu jurang yang besar.
Perubahan perlu bermula daripada semua pihak. Hospital tidak perlu berasa bersalah untuk menjelaskan kos secara telus.
Doktor tidak perlu berasa janggal mengakui realiti kewangan yang dihadapi pesakit.
Keluarga pula perlu lebih terbuka berbincang mengenai perlindungan, simpanan dan perancangan kesihatan jangka panjang.
Yang paling penting, pesakit tidak seharusnya berasa malu untuk bertanya.
Kesihatan dan wang bukan dua dunia yang berasingan.
Kedua-duanya saling mempengaruhi dan saling menentukan. Semakin awal kita berani membincangkannya, semakin besar peluang untuk membuat keputusan yang lebih baik apabila berdepan saat yang paling memerlukan.
Persoalannya bukan lagi sama ada wang mempunyai peranan dalam penjagaan kesihatan.
Persoalan sebenar ialah sama ada kita sudah cukup matang untuk membicarakannya secara terbuka sebelum krisis berlaku, dan bukannya selepas semua pilihan menjadi semakin sempit.
- Ranjit Singh ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Amden Capital.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.